Ronaldo miliki masa depan di bawah kendalian Ten Hag

Astro Arena
April 29, 2022 10:30 MYT
Rangnick (kiri) berminat untuk menyerlahkan prestasi keseluruhan Ronaldo (kanan) dan memuji kadar kerjanya. - Gambar fail/Astro ARENA
PRESTASI Cristiano Ronaldo menentang Chelsea awal pagi tadi membuktikan dia masih boleh menjadi 'bantuan besar' kepada Manchester United musim depan di bawah kendalian Erik ten Hag, menurut pengurus sementara Ralf Rangnick.
United sekali lagi memperoleh keputusan kurang memberangsangkan ketika seri 1-1, dengan Ronaldo bertindak memastikan Red Devils mengelak daripada mengalami tiga kekalahan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama sejak 2015.
Hanya 119 saat selepas Marcos Alonso meletakkan Chelsea di hadapan di Old Trafford, Ronaldo menyambar hantaran Nemanja Matic yang melepasi bahagian pertahanan sebelum melepaskan rembatan deras mengatasi Edouard Mendy.
Ronaldo kini telah menjaringkan lapan daripada sembilan gol terbaru United dalam EPL, dengan Fred satu-satunya pemain lain yang menjaringkan gol untuk kelab itu bulan ini.
Ia merupakan jaringan Ronaldo ke-17 untuk musim ini dalam liga, hanya Mohamed Salah menjaringkan lebih gol, tetapi Rangnick berminat untuk menyerlahkan prestasi keseluruhan penyerang itu sambil memuji kadar kerja ketika bertahan.
“Bukan sahaja dia menjaringkan gol, Ronaldo juga keseluruhan persembahannya, sikap dan kekerapan dia membantu ketika bertahan.
"Pada usia 37 tahun, pemain seperti dia - ini bukan perkara biasa untuk melakukan itu. Dia menunjukkannya hari ini. Jika dia bermain seperti dia bermain hari ini, dia masih boleh menjadi bantuan besar untuk pasukan ini.
“Akhirnya, kedua-duanya keputusan Erik dan Cris apa yang mereka mahu lakukan, bukan untuk saya bercakap tentang itu.
"Tetapi seperti yang saya katakan, hari ini persembahan Cris benar-benar hebat."
#Cristiano Ronaldo #Manchester United #Ralf Rangnick #EPL
;