Ronaldo lakar rekod dunia, penampilan antarabangsa terbanyak

Sinar Harian
Mac 24, 2023 10:52 MYT
Ronaldo memecah rekod penampilan terbanyak di pentas antarabangsa. (Foto AP)
BINTANG sensasi, Cristiano Ronaldo berada dalam kelas tersendiri apabila memecahkan rekod penampilan antarabangsa pemain lelaki terbanyak.
Malah lebih manis ia diraikan dengan dua jaringan ketika Portugal membelasah Liechtenstein 4-0 dalam kelayakan Euro 2024.
Pemain berusia 38 tahun itu membuat penampilan ke-197 buat negaranya di Lisbon selepas disenaraikan untuk memulakan aksi dalam kesebelasan utama.
Kapten Portugal itu menjaringkan gol pada minit ke-51 menerusi penalti selepas dua gol awal dari Joao Cancelo dan Bernardo Silva, sebelum menyudahkan sepakan percuma 12 minit kemudian.
Ia membolehkan Ronaldo melebarkan rekod 120 gol buat negaranya dan menjadi pemain pertama dapat meledak 100 kali dalam saingan antarabangsa kompetitif.
"Mencipta rekod adalah motivasi buat saya," ujarnya.
Catatan rekod gemilang itu belum cukup buat Ronaldo apabila optimis memasang impian untuk melakar lebih banyak sejarah.
"Saya mahu menjadi pemain paling banyak beraksi dalam sejarah. Itu akan membuatkan saya bangga.
"Bagaimanapun, ia tidak akan terhenti di sini sahaja, saya sentiasa mahu disenaraikan dengan kerap," katanya.
Ronaldo melakukan penampilan antarabangsa pertama pada 2003.
Dia juga menjadi pemain pertama dapat menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia tahun lalu sebelum Portugal kalah kepada Maghribi di suku akhir.
Ronaldo ketika ini beraksi dengan kelab Arab Saudi, Al Nassr selepas memutuskan hubungan buat kali kedua dengan Manchester United.
Penampilan Ronaldo sebagai pemain gantian ketika Portugal tewas kepada Maghribi menyamai rekod 196 kali yang dipegang pemain Kuwait, Bader Al-Mutawa. - Sinar Harian
#Cristiano Ronaldo #Portugal #rekod dunia
;