Ronaldo: Kebarangkaliannya makin kurang
Astro Arena
Julai 16, 2022 10:30 MYT
Julai 16, 2022 10:30 MYT
MUNGKIN kerana nama dan reputasi, mungkin juga kerana pada usia 37 tahun, tidak ada yang mengingini.
Desas-desus tentang keputusan Cristiano Ronaldo untuk meninggalkan Manchester United kini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan.
Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan mereka tidak berhajat untuk membeli penyerang sensasi itu.
Umum mengetahui bahawa Ronaldo bukanlah seorang pemain yang rendah dari segi kos -- gaji mingguannya bersama United kini adalah setinggi £500,000 (RM2.6 juta) seminggu, maka hanya kelab-kelab dengan faktor kewangan kukuh mampu berangan-angan membawanya masuk.
Dilaporkan juga oleh ESPN, sebuah kelab Arab Saudi telah menawarkan kapten Portugal itu perpindahan bernilai AS$30 juta (RM133 juta) disertakan gaji berjumlah AS$275 juta (RM1.22 bilion) untuk tempoh dua musim akan datang.
Itu, bagaimanapun, dilaporkan telah ditolaknya kerana Ronaldo lebih mendambakan sebuah pasukan yang meluangkannya beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada musim baru ini.
Chelsea, yang merupakan kelab paling aktif dalam jendela perpindahan ketika ini, nyata berazam untuk menguatkan pasukan sebaik mungkin sebelum musim baru bermula.
Sayap kiri kebangsaan England, Raheem Sterling, telah disempurnakan perpindahannya dengan harga £50 juta (RM263 juta), manakala pemain pertahanan daripada Napoli, Kalidou Koulibaly, dikatakan telah pun lulus ujian kesihatan dan bakal menyertai skuad Chelsea di Amerika Syarikat bagi mengharungi tempoh pra-musim.
Dua lagi pemain pertahanan, Nathan Ake daripada Manchester City dan Presnel Kimpembe daripada PSG dikhabarkan bakal menjadi sasaran seterusnya.
Menurut pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, hasil perbincangannya dengan pemilik baru kelab, Todd Boehly, beliau ingin memberikan lebih fokus terhadap aspek pertahanan setelah kehilangan Antonio Rudiger ke Real Madrid.
Boehly pula menyatakan yang beliau mahukan keutamaan diberikan kepada keharmonian pasukan berbanding kegemilangan individu semata-mata, dan sememangnya ura-ura kehadiran Ronaldo, yang didakwa mengganggu keamanan Manchester United musim ini, memberikan impak negatif.
Disebabkan ini, Ronaldo tidak termasuk dalam perancangan mereka.
Bagi PSG pula, biarpun peluang untuk membariskan Ronaldo, Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe dalam satu pasukan kedengaran cukup menggiurkan, hakikatnya adalah senario itu lebih mirip kepada satu fantasi dan tidak membantu mengatasi masalah-masalah yang mereka hadapi.
PSG dilaporkan bakal fokus terhadap menjual pemain-pemain yang tidak menyerlah dan tidak diperlukan, antaranya Gini Wijnaldum, Mauro Icardi, Julian Draxler dan Ander Herrera, di samping terdapat juga ura-ura yang Neymar tidak gembira bersama mereka.
Ronaldo merupakan satu masalah yang tidak ingin mereka fikirkan ketika ini.
Sementara itu, Ronaldo dilihat memuat naik satu foto yang menunjukkan dia sedang bersenam sambil mengenakan seluar pendek United, dengan kapsyen yang berbunyi 'Kuat berusaha'.
Segala berita ini nampaknya menjurus kepada hakikat yang kelibat CR7 dan laungan 'SIUUU' masih lagi akan menyerikan Old Trafford pada musim 2022/23.
Sesuatu yang menggembirakan? Mungkin.
Satu bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meledak?
Itu juga lebih berkemungkinan.