Ronaldo gantung but tahun depan?
Israr Khalid
Ogos 21, 2019 16:59 MYT
Ogos 21, 2019 16:59 MYT
CRISTIANO Ronaldo belum pasti bila waktunya dia akan berhenti bermain bola sepak secara profesional.
Namun, kata kapten Portugal itu, mungkin seawal tahun depan atau boleh jadi dia akan terus bermain sehingga melewati usia 40-an.
“Saya tak tahu lagi. Apa yang selalu saya katakan ialah untuk menikmati setiap saat. AnugerahNya sangat hebat dan saya perlu terus menikmatinya,” katanya kepada media Portugal, TVI.
Pada usia 34 tahun, Ronaldo masih mempamer sentuhan berbisa selepas menyertai Juventus tahun lepas apabila meledak 28 gol dalam 43 penampilan di semua kejohanan, malah membantu gergasi Serie A itu merangkul satu lagi gelaran liga bagi musim 2018/2019.
Bersama barisan anugerah individu, Ronaldo menjadi satu-satunya pemain yang memenangi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak lima kali (empat bersama Real Madrid, satu bersama Manchester United), tiga gelaran Liga Perdana Inggeris serta dua piala La Liga.
Dia masih belum puas, dan mahu terus mencipta sejarah.
“Siapa lagi pemain bola sepak yang ada rekod sebanyak saya? Saya tak rasa ada yang miliki rekod lebih daripada saya,” tegasnya.
Sebelum ini, rakan sepasukannya Sami Khedira mengangkat peranan Ronaldo sebaris bintang sukan lain seperti LeBron James dalam bola keranjang dan Tom Brady dalam bola sepak Amerika, serta memiliki etika kerja seperti legenda Itali, Gianluigi Buffon.
Juventus akan memulakan kempennya dengan misi untuk mengekalkan kejuaraan perisai Itali, Scudetto menentang Parma di tempat lawan pada Sabtu.
Serie A akan bermula lewat berbanding liga-liga utama Eropah, The Old Lady akan membuka tirai saingan dengan berdepan Fiorentina dan Napoli.