Ronaldo gagal bantu Al Nassr

Sinar Harian
Januari 27, 2023 09:30 MYT
Ronaldo ketika lakukan latihan pemanas badan sebelum perlawanan menentang Al Ittihad. - Foto Twitter/AlNassr FC
HASRAT Cristiano Ronaldo untuk mengemudi Al Nassr mara lebih jauh saingan ke Piala Super Arab Saudi pada Jumaat tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Al Ittihad dalam perlawanan separuh akhir di Riyadh.
Pada perlawanan berintensiti tinggi itu, pemain Portugal berusia 37 tahun tersebut yang juga pemenang Ballon D'Or lima kali, mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Namun kawalan rapi pertahanan Al Ittihad menyaksikan bekas bintang Manchester United, Juventus, Real Madrid dan Sporting Lisbon itu bergelut untuk menghadirkan penyudah ampuh pada perlawanan tersebut.
Biarpun jaringan Anderson Talisca untuk Al Nassr pada minit ke-67, namun belum mencukupi untuk memulihkan defisit daripada dua gol separuh masa pertama Al Ittihad yang dijelmakan Romarinho dan Abderrazak Hamdallah.
Al Ittihad terus melebarkan jaringan apabila Muhannad Al-Shanqeeti menambah gol ketiga pada masa kecederaan dalam perlawanan di Stadium Antarabangsa Raja Fahd itu.
Ronaldo, yang kemarau gol sepanjang dua perlawanan bersama Al Nassr kelab kendalian Rudi Garcia, akan bertandang ke Al Fateh dalam saingan Liga Pro Saudi pada 3 Februari depan. - Sinar Harian
#Cristiano Ronaldo #Al Nassr #Piala Super Arab Saudi #Al Ittihad
;