Ronaldo digantung satu perlawanan kerana tunjuk isyarat lucah dalam perlawanan Liga Saudi
Agensi
Februari 29, 2024 08:50 MYT
Februari 29, 2024 08:50 MYT
SUPERSTAR bola sepak, Cristiano Ronaldo digantung satu perlawanan selepas menunjukkan isyarat lucah berikutan kemenangan 3-2 Al Nassr ke atas Al Shabab, kata Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Persekutuan Bola Sepak Saudi (SAFF), pada Rabu (28 Feb).
Selepas wisel penamat pada Ahad lalu, video media sosial merakamkan aksi Ronaldo menekup telinganya sebelum berulang kali mengcengkam alat sulitnya di hadapan penonton.
Tindakan Ronaldo itu dipercayai ditujukan kepada penyokong Al Shabab yang juga saingan Al Nassr.
Jawatankuasa itu berkata, bintang Portugal itu perlu membayar denda 10,000 riyal Saudi (AS$2,666) kepada Persekutuan Bola Sepak Saudi dan 20,000 riyal kepada Al-Shabab untuk menampung kos yuran pemfailan aduan.
Jawatankuasa itu juga menegaskan, keputusan berkenaan tidak tertakluk kepada rayuan.
Pada April tahun lalu, dia dirakamkan mencengkam kemaluannya ketika dalam perjalanan ke ruang istirahat selepas tamat perlawanan liga menentang Al Hilal di mana Al Nassr tewas 2-0.
Ronaldo, yang menyertai Al Nassr sebagai pemain bebas pada penghujung 2022, mendahului carta penjaring liga Saudi dengan 22 gol dalam 20 penampilan setakat musim ini.
Al Nassr berada di tempat kedua dalam jadual dengan 52 mata, empat mata di belakang Al Hilal, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan. - Reuters