Ronaldo dedah sedikit tertekan sebelum raih gol pertama

Astro Arena
September 17, 2018 09:13 MYT
Ronaldo menyumbat gol dari jarak dekat selepas 50 minit permainan, disusuli jaringan kedua 15 minit kemudian, memberikan kemenangan kepada Juventus ke atas Sassuolo dalam perlawanan Serie A di Stadium Allianz, Turin, Itali, 16 Sept, 2018. REUTERS
CRISTIANO Ronaldo berterima kasih kepada rakan sepasukan di Juventus selepas membantunya menamatkan kemarau gol susulan kejayaan menyumbat dua jaringan ketika menewaskan Sassuolo 2-1, semalam.
Pemain berusia 33 tahun itu gagal menemui sebarang jaringan dalam tiga aksi pertama Serie A sejak melengkapkan perpindahan daripada Real Madrid, Julai lalu, sebelum menamatkan penantian itu ketika berdepan Sassuolo.
Dia menyumbat gol dari jarak dekat selepas 50 minit permainan dan disusuli jaringan kedua 15 minit kemudian untuk memberikan kemenangan buat skuad kendalian Massimiliano Allegri itu.
Ronaldo juga memuji cara Juve memecahkan tembok kebal lawan dan mengakui dia mula memikirkan tentang kegagalannya menjaringkan gol.
"Saya sangat gembira dan kami bermula dengan baik," kata Ronaldo.
"Sassuolo bertahan dengan bagus tetapi kami mempamerkan aksi hebat dan berhak menang.
"Saya sangat inginkan gol pertama dan gembira akhirnya menemui sentuhan jaringan.
"Ini adalah bola sepak. Apa yang penting adalah kemenangan pasukan. Jelas sekali, saya sedikit tertekan apabila semua pihak bercakap mengenai Madrid dan tidak menyumbat gol tetapi saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan kerana sentiasa memberi sokongan.
"Saya tahu saya bekerja keras dan hanya masa akan menentukan detik meraih gol. Saya menyesuaikan diri dalam bola sepak Itali dengan baik."
Juventus bakal bertandang ke Valencia bagi aksi pertama Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis ini, dan Ronaldo mendedahkan dia bersedia untuk beraksi di pentas di mana dia menjulang trofi tiga tahun berturut-turut bersama Los Blancos.
Manchester United dan Young Boys juga berada dalam Kumpulan H dan Ronaldo sedar akan cabaran getir yang dihadapi Juve selepas mara ke suku akhir, musim lalu.
"Liga Juara-Juara adalah pertandingan kegemaran saya.
"Ia adalah satu kumpulan yang sukar tetapi kami tahu kami mampu melakukannya dengan baik dan Juventus harus fokus."
#bola sepak #Cristiano Ronaldo #gol pertama #Juventus #kemarau gol #Sassuolo #Serie A #tertekan
;