Ronaldinho sasar 25 gol musim ini

Astro Arena
Februari 6, 2017 08:58 MYT
Patrick Ronaldinho ketika menentang Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, 4 Feb, 2017. --fotoBERNAMA / Fail
"GOL yang cukup bermakna untuk kami," itu pengakuan Patrick Ronaldinho dan Safee Sali selepas masing-masing meledak jaringan untuk membantu PKNS FC membenam Selangor 5-3 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, petang Sabtu.
Ronaldinho dan Safee sekali lagi digandingkan untuk mengemudi jentera serangan PKNS ketika berdepan Selangor untuk perlawanan ketiga liga itu.
Berjaya menyerlahkan kehebatan masing-masing, Ronaldinho paling mencuri tumpuan apabila menjadi duri dalam daging buat bekas pasukannya.
Penyerang berusia 26 tahun dari Liberia itu meledak tiga gol untuk melakar hatrik pertama Liga Super musim ini.
"Ia adalah jaringan penting buat pasukan kami dan saya gembira kerana dapat menyumbang tiga gol.
"Saya menyasarkan 25 gol musim ini. Itu sasaran saya dalam semua kejohanan, termasuk Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super," katanya.
Sementara itu, Safee turut berjaya merekodkan gol pertamanya musim ini bagi mengakhiri kemarau jaringan di pentas Liga Super sejak sekian lama.
"Ia satu keyakinan untuk saya apabila dapat menjaringkan gol, terutama di Shah Alam bersama pasukan PKNS," katanya. "Ia memberi keyakinan untuk saya bermain lebih baik dalam perlawanan akan datang."
Dalam pertemuan itu, PKNS yang ketinggalan seawal minit pertama bangkit meraih jaringan untuk mendahului 3-2 pada separuh masa pertama.
Ronaldinho muncul wira PKNS apabila gol ketiganya selepas rehat memastikan kemenangan 5-3 untuk tiga mata pertama pasukan itu musim ini.
#Liga Super #Patrick Ronaldinho #PKNS FC #safee sali #Selangor
;