Ronaldinho berdepan tuduhan palsu dokumen

Afiezy Azaman
Mac 7, 2020 05:33 MYT
Ronaldinho dihadap ke mahkamah di ibu negara Paraguay atas tuduhan memasuki negara berkenaan dengan menggunakan dokumen palsu. -AP
Bintang bola sepak Ronaldinho dihadap ke mahkamah di ibu negara Paraguay atas tuduhan memasuki negara berkenaan dengan menggunakan dokumen palsu.
Bekas pemain Barcelona dan AC Milan itu ditahan pada Jumaat malam di sebuah hotel di Asuncion.
Pemain berusia 39 tahun Brazil dan abangnya Roberto Assis dibawa ke balai polis sebelum pukul 10 malam waktu tempatan.
Pegawai pendakwa raya dalam satu kenyataan berkata Ronaldinho dan Assis memberi keterangan selama enam jam mengenai dokumen palsu yang ada dengan mereka.
Dua beradik itu berkata mereka datang ke Asuncion atas urusan perniagaan.
Tambah mereka, dokumen itu diberikan sebagai hadiah oleh ahli perniagaan Brazil, Wilmondes Sousa Liria yang ketika ini berada dalam penjara.
Ronaldinho merupakan pemain terbaik dunia dua kali, kali terakhir bermain pada tahun 2015 selepas melalui karier yang hebat termasuk kemenangan Piala Dunia 2002.
#Assis #barcelona #bola sepak #Brazil #hotel #mahkamah #polis #Ronaldinho
;