Roma tolak tawaran awal The Blues

Astro Arena
Januari 25, 2018 09:24 MYT
Edin Dzeko. Foto Astro ARENA
AS ROMA menolak tawaran Chelsea yang berhajat memancing Edin Dzeko namun bersedia mengadakan perbincangan lanjut mengenai masa depan penggempur itu.
Semalam, Pengarah Sukan, Monchi, mengesahkan pendirian Giallorossi berikutan usaha daripada juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Chelsea dikaitkan dengan perpindahan duo jaguh Serie A itu, Dzeko dan Emerson Palmieri, dalam usaha Antonio Conte mengukuhkan pilihan pemainnya.
Begitupun, mereka perlu meningkatkan tawaran mereka sekiranya memburu khidmat Dzeko yang mencecah usia 31 tahun di Stadio Olimpico.
"Setiap kelab di dunia akan sekurang-kurangnya mempertimbangkan sebarang tawaran yang masuk," kata Monchi kepada Mediaset Premium.
"Kami bersedia untuk mendenga, kemudian kami akan membuat keputusan.
"Buat masa ini, Dzeko ada di sini dan kita semua gembira. Ini bermakna bahawa tawaran yang kami terima setakat ini tidak memenuhi tuntutan kami."
Biarpun penilaian Roma terhadap Dzeko belum dipenuhi, Monchi tidak menolak kemungkinan untuk memuktamadkan rundingan itu.
"Saya tidak tahu apa syarat peribadi yang ditawarkan kepada pemain kerana saya bukan ejennya," katanya.
"Saya bercakap mengenai Roma. Tawaran itu tiba, kami meneletinya dan membuat keputusan.
"Seorang pengarah sukan mesti melihat kepada aspek ekonomi dan sukan, itulah peranannya. Saya seorang pengarah, saya harus mempertimbangkan kedua-duanya, jika tidak, esok saya akan menandatangani Lionel Messi."
Dzeko akan diturunkan ketika menentang Sampdoria awal pagi esok manakala Emerson akan diletakkan di bangku simpanan.
#AS Roma #bola sepak #Chelsea #Edin Dzeko #EPL #Liga Perdana Inggeris #Monchi
;