Rohani arif pasal bola, sokong Argentina di Piala Dunia
Bernama
Jun 14, 2014 17:50 MYT
Jun 14, 2014 17:50 MYT
Siapa sangka di sebalik kelembutan wajah dan pertuturannya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim arif tentang selok-belok berkaitan bola sepak.
Malah beliau juga pada zaman remajanya pernah mewakili pasukan bola sepak Sekolah Menengah Methodist, Sibu dengan posisi sebagai penyerang dan tidak melihat sukan itu sebagai sukan yang hanya dimonopoli golongan lelaki.
"Saya dulu pandai main bola. Cara jurulatih ajar saya bermain cukup senang. Beliau pesan kalau bola datang, tendang sahaja," katanya spontan semasa berucap pada sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2014 bertemakan 'Ayahku, Heroku' di sini, hari ini.
Mengambil semangat Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung di Brazil, Rohani hadir pada majlis itu dengan memakai jersi nombor 4 pasukan Argentina, yang ditempah khas dengan cerapan namanya.
Pada sidang media, Rohani memberitahu untuk kejohanan tahun ini, Argentina menjadi pilihannya, namun menjangkakan Brazil akan menjadi juara kerana dibarisi pemain handalan dan mempunyai kelebihan bermain di padang sendiri.
"Namun apa sahaja boleh berlaku kerana bola itu bulat. Pasukan pilihan saya, Argentina tidak boleh dipandang ringan, khususnya (pemain) nombor empat, Pablo Zabaleta, sama dengan nombor jersi saya," katanya.
Beliau juga berkata skuad bimbingan Alejandro Sabella itu juga mempunyai kapten pasukan yang digeruni pasukan lawan, iaitu Lionel Messi.
Rohani menambah beliau juga tidak sabar untuk menunggu Argentina yang digelar La Albiceleste (bermaksud 'The White and Sky Blue') turun beraksi pada Isnin ini (16 Jun) menentang Bosnia-Herzegovina.