'Roh' Mokhtar Dahari menggegar Eropah!

Israr Khalid
Jun 3, 2018 17:51 MYT
Harapan negara! Pasukan Bawah-14 tahun Akademi Mokhtar Dahari (AMD) muncul juara kumpulan A dengan rekod tanpa kalah dalam Kejohanan B14 Vogido edisi ke-16 di Enschede, Belanda. - Foto oleh NFDP
RUPA-RUPANYA, anak Malaysia bukan hanya menggegar bumi sendiri untuk melakar sejarah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tempoh hari, tetapi juga di Eropah, oleh anak-anak kecil kita!
Pasukan Bawah-14 tahun Akademi Mokhtar Dahari (AMD) muncul juara kumpulan A dengan rekod tanpa kalah dalam Kejohanan B14 Vogido edisi ke-16 di Enschede, Belanda.
Penganjur melihat AMD Malaysia sebagai antara pasukan terkuat dan pilihan untuk menjuarai kejohanan, apabila rentak cemerlang anak-anak Malaysia bermula dengan menewaskan wakil tuan rumah, FC Twente 2-0 pada perlawanan keempat kejohanan yang membuka tirainya 1 Jun tempoh hari.
AMD kemudian meneruskan momentum dengan sekali lagi meledak dua gol tanpa balas untuk menundukkan Bayer 04 Leverkusen dari Jerman, seterusnya mencatat kemenangan 2-1 menentang NEC/FC Oss dari Belanda dan mangsa terakhir mereka adalah satu lagi wakil Belanda, Vitesse juga dengan jaringan 2-1.
Keunggulan di peringkat kumpulan membolehkan skuad muda negara mara ke separuh akhir untuk bertemu wakil Switzerland, FC Basel yang dijadualkan berlangsung hari ini.
FC Basel dianggap lawan yang hebat, melihat kepada nama-nama besar bola sepak hari ini yang digilap dari kelab tersebut antaranya perancang Barcelona, Ivan Rakitic; sayap Stoke City, Xherdan Shaqiri, pemain tengah Arsenal, Granit Xhaka dan ‘Raja Mesir’ di Liverpool, Mohamed Salah.
Sekiranya berjaya melepasi cabaran FC Basel, rintangan terakhir AMD Malaysia sebelum menjulang kejuaraan adalah antara KRC Genk dari Belgium atau sekali lagi bertemu NEC/FC Oss.
KRC Genk juga sama seperti skuad AMD selaku juara kumpulan B dengan rekod tanpa kalah, dan pertemuan di pentas final antara dua pasukan itu pasti menjanjikan pertembungan sengit. Sekiranya bertemu sekali lagi NEC/FC Oss, AMD mempunyai kelebihan moral kerana telah menewaskan mereka di peringkat kumpulan.
AMD Malaysia sudah pasti dalam rentak dan momentum terbaik untuk meneruskan ‘ngauman’ di bumi Eropah, selepas menggegar Dortmund pada 21 Mei tempoh hari apabila bergelar juara Kejohanan Whitsun B-14 2018 yang turut disertai wakil dari kelab ternama Jerman seperti Borussia Dortmund, FC Stuttgart, VfL Bochum dan FC Ingolstadt 04.
Kecemerlangan aksi anak muda kita di pentas antarabangsa telah memperkukuh jenama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan nama Malaysia dalam bola sepak. Terbaharu, tiga pemain NFDP dijemput untuk beraksi dalam kejohanan bawah 13 tahun bersama gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG).
Sebelum ini juga, Ketua Pegawai Eksekutif NFDP, Safirul Azli Abu Bakar mengesahkan bahawa Manchester City, Manchester United dan beberapa kelab La Liga Sepanyol menyatakan minat mereka untuk mendapatkan lima pemain yang berlatih di bawah program itu.
Nampaknya benih yang ditanam sejak 2014 sudah mula ‘berbuah’. Sedikit atau banyak, manis atau kurang, setidak-tidaknya ia mendatangkan hasil yang positif.
Cuma yang menjadi kebimbangan kita sejak sekian lama adalah, mampukah ia bertahan, berterusan, dan semakin bertambah baik?
Kita sentiasa mengimpikan bendera Malaysia berkibar megah di temasya Piala Dunia, mengimpikan kita menjulang piala emas keramat itu. Sampai bila kita mahu terus bersorak untuk bendera lain pada setiap empat tahun?
Suka untuk saya tanya, apakah faktor yang mempengaruhi produktiviti buah? Cara jaganya, persekitarannya, dan ‘semangat’ yang disalurkan kepada pokok itu. Ini yang perlu dititik beratkan. Nescaya pokok yang hampir mati pun boleh merimbun buahnya.
#Akademi Mokhtar Dahari #AMD #Belanda #bola sepak #FC Basel #Jerman #Malaysia #NFDP #Program Pembangunan Bola Sepak Negara #PSG #Vogido #Whitsun
;