Roger Federer umum akan bersara selepas Piala Laver
Astro Arena
September 16, 2022 08:00 MYT
September 16, 2022 08:00 MYT
ROGER Federer mengumumkan bahawa dia akan bersara daripada arena tenis profesional selepas tamat saingan Piala Laver di London minggu depan.
Pemain legenda tenis dunia itu tidak pernah beraksi secara kompetitif sejak disingkirkan pemain Poland, Hubert Hurkacz, dalam suku akhir Kejohanan Wimbledon tahun lalu, di mana dia kemudian menjalani pembedahan lutut buat kali ketiga dalam tempoh 18 bulan.
"Seperti yang anda semua tahu, sepanjang tiga tahun lalu telah memberikan saya cabaran dalam bentuk kecederaan dan pembedahan," kata Federer dalam media sosial.
"Saya berusaha keras untuk kembali ke keadaan kompetitif tetapi saya juga sedar kapasiti dan had kepada badan saya, dan mesejnya kepada saya kebelakangan ini amat jelas, saya sudah berusia 41 tahun.
"Saya sudah bermain lebih daripada 1,500 perlawanan sepanjang 24 tahun. Tenis telah melayani saya dengan lebih pemurah berbanding apa yang pernah saya impikan dan kini, saya perlu menyedari bila masanya untuk saya menamatkan karier kompetitif saya.
"Saingan Piala Laver di London minggu depan akan menjadi acara ATP terakhir buat saya. Sudah pasti saya masih akan bermain tenis pada masa akan datang cuma ia bukan dalam grand slam atau jelajah.
"Ini adalah keputusan yang berbelah-bahagi kerana saya akan merindukan segala-galanya yang telah diberikan jelajah ini buat saya tetapi pada masa sama, terlalu banyak perkara untuk diraikan," katanya lagi.
Bagi saingan Piala Laver, yang akan mengambil tempat pada 23-25 September ini, Federer akan mewakili Pasukan Eropah bersama Rafael Nadal, Novak Djokovic, Andy Murray, Casper Ruud dan Stefanos Tsitsipas.
Mereka akan bertemu Pasukan Dunia yang terdiri daripada Taylor Fritz, Felix Auger-Aliassime, Diego Schwartzman, Frances Tiafoe, Alex de Minaur dan Jack Sock.