Robert Ballard anggap olahraga tidak mengecewakan
Astro Arena
Jun 13, 2015 18:02 MYT
Jun 13, 2015 18:02 MYT
Jumlah 14 pingat dalam 24 acara dianggap sesuatu yang positif buat pengarah teknikal olahraga negara, Robert Ballard yang melahirkan rasa puas hatinya dengan prestasi olahraga edisi kali ini.
Kontinjen olahraga Malaysia turut melakar dua rekod kebangsaan dengan keseluruhan hanya mengutip tiga emas sahaja di Stadium Nasional Singapura, rekod terburuk sejak pembabitan negara dalam temasya Sukan SEA walaupun suatu ketika pernah menuai 17 emas pada 1997 di Indonesia.
Berbanding di Myanmar dua tahun lalu, Malaysia membawa pulang empat pingat emas.
"Matlamat peribadi saya, saya mengharapkan kami dapat 21 pingat walaupun kami dapat 14 pingat.
"Bagaimanapun pencapaian kami di sini lebih baik ketika kami memenangi 24 pingat di Myammar.
"Saya rasa jika melihat secara realistik keseluruhan berdasarkan persembahan yang diberikan," tegasnya yang dilantik sejak Februari lalu.
Dari sudut positifnya, Muhammad Hakimi Ismail berjaya menamatkan kemarau pingat emas negara selama 18 tahun dalam acara lompat kijang dengan melakukan lompatan sejauh 16.05 meter manakala kuartet 4x100 meter memecah rekod kebangsaan dengan catatan 39.67 saat.
Atlet negara juga berjaya membuat 16 catatan terbaik peribadi dan musim sebagai persediaan penganjuran di Kuala Lumpur nanti.