Robert Alberts kecewa
Bernama
April 17, 2013 16:36 MYT
April 17, 2013 16:36 MYT
Penyakit pasukan Bujang Senang termasuk mudah kehilangan bola kepada lawan, dilihat menjadi penyebab kepada kekalahan Sarawak 0-2 kepada Kelantan dalam saingan pusingan kedua suku akhir Piala FA di sini Selasa malam.
Ketua jurulatihnya Robert Alberts berkata anak buahnya tidak agresif, sering kehilangan bola kepada pihak lawan dan membiarkan Kelantan membuat jaringan mudah.
"Kami sepatutnya memberi tentangan lebih sengit. Kami memberikan mereka dua gol mudah. Kita boleh lihat perbezaan kualiti antara dua pasukan dari dua liga berbeza," katanya selepas perlawanan tersebut.
Sarawak merupakan pasukan Liga Perdana sementara Kelantan dari Liga Super.
Kelemahan-kelemahan itulah yang sering dibangkitkan Alberts terhadap prestasi anak buahnya pada setiap perlawanan mereka.
Sementara itu kemunculan pertama kali malam tadi pemain kelahiran Malaysia yang sebelum ini bermain di Liga Bolasepak Vauxhall, England; Junior Eldstal belum lagi memperlihatkan kehebatannya.
Eldstal berkata beliau masih dalam peringkat menyesuaikan diri dengan keadaan.
Bagi ketua jurulatih The Red Warriors, Bojan Hodak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.
Beliau berkata pemainnya mematuhi arahan yang diberikan untuk menyerang sebaik perlawanan bermula.