Pemain bola sepak Queen Park Rangers (QPR), Rio Ferdinand, masih bersedih di atas kematian isterinya, Rebecca, 1 Mei lalu.

Pemergian Rebecca dianggap satu tamparan hebat buat bekas bintang Manchester United (Man Utd) itu memandangkan Rebecca baru sahaja disahkan menghidap barah payudara lima minggu yang lalu.

Menurut doktor, wanita itu dijangka punya jangka hayat kira-kira dua hingga lima tahun.

Seorang ahli keluarga memberitahu, Rio sangat tertekan dan sedih dengan pemergian Rebecca yang dianggap cinta sejatinya.

"Melihat keadaan Rio sekarang, saya tidak tahu bagaimana dia akan bangkit. Selama ini, Rebecca adalah kekuatannya," kata sumber itu.


Rio berkenalan dengan Rebecca pada penghujung tahun 1999. Mereka berkahwin pada tahun 2009 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Rebecca, bekas jurulatih kecergasan, dianggap sebagai antara WAGS (isteri/pasangan bintang bola sepak ternama) paling disukai peminat kerana sikapnya yang 'low-profile'.

"Dia menyokong kerjaya suaminya, tetapi dia juga punya kehidupan sendiri. Dia tidak kelihatan seperti mahu menumpang populariti Rio," kata satu sumber kelab peminat.

Upacara pengkebumian Rebecca pada Rabu lalu dihadiri lebih 200 orang tetamu, termasuk bekas pengurus Man Utd, Sir Alex Ferguson, selain beberapa rakan sepasukan Rio ketika bersama Man Utd.