Rio 2016: Skuad badminton negara langkah kanan

Astro Arena
Ogos 12, 2016 11:23 MYT
Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, turut dicabar hebat pasangan England, Lauren Smith-Heather Oliver. - Foto Bernama
Skuad badminton negara melaungkan amaran awal kepada pencabar pingat Olimpik Rio pada saingan hari pertama susulan kemenangan straight set buat tiga wakil negara yang turun dalam aksi beregu.
Beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, yang dikritik hebat di atas prestasi tidak menentu sepanjang musim ini, tampil dengan aksi meyakinkan menentang pasangan Jerman, Johannes Schoetler-Michael Fuchs.
Tidak teruji pada set pertama, Wee Kiong-V Shem bagaimanapun terpaksa bersandarkan kepada kesedaran mengubah taktikal dalam gelaggang untuk menundukkan lawan.
Mereka menang 21-14,21-17 untuk permulaan baik sebelum dua aksi lebih sukar menentang pasangan Amerika Syarikat dan China.
Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, turut dicabar hebat pasangan England, Lauren Smith-Heather Oliver.
Ada elemen perseteruan antara mereka susulan rekod empat pertemuan sebelum ini dengan kesemuanya memihak kepada pasangan negara.
Bezanya kali ini, berbanding tiga pertemuan terdahulu, Vivian-Khe Wei unggul memastikan saingan tidak diheret lawan ke set penentuan apabila menang 21-17, 24-22.
Menutup tirai untuk hari pertama badminton buat skuad negara adalah pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, yang tidak berdepan masalah untuk menang set pertama 21-13 ke atas pasangan Thailand, Bodin Isara-Savitree Amitrapai.
Peng Soon dan Liu Ying memperkemaskan semula permainan mereka selepas membenarkan Bodin-Savitree untuk bangkit malah meletakkan lawan di ambang kemenangan sebelum merampas kemenangan 21-19.
#Olimpik Rio #Rio 2016 #skuad badminton negara #Tan Wee Kiong-Goh V Shem
;