Rio 2016: Serena, Venus Williams gagal pertahan emas beregu
Agensi
Ogos 8, 2016 15:32 MYT
Ogos 8, 2016 15:32 MYT
Harapan Serena dan Venus Williams menggondol emas Olimpik dalam kategori beregu wanita musnah apabila ditewaskan oleh Lucie Safarova dan Barbora Strycova pada pusingan pertama.
Kekalahan tersebut menggagalkan matlamat adik-beradik Williams untuk meraih emas keempat berturut-turut selepas memenangi kategori itu pada edisi 2000, 2008, dan 2012.
Pasangan berpengalaman Czech menumpaskan pilihan pertama itu dalam dua set 6-3, 6-4.
“Kami sudah buat yang terbaik. Saya tidak rasa ini mengecewakan. Kami akan kenang semua detik dan perlawanan sebelum ini,” ujar Serena.
Venus pula menegaskan mereka kini mengalihkan tumpuan kepada US Open selepas ini.
“Kami bertemu pihak lawan yang kuat. Selamat berjaya untuk mereka dan kami akan bersedia untuk US Open,” tambah Venus.
Serena masih lagi berpeluang mengekalkan kejuaraan Olimpik dalam kategori perseorangan wanita selepas menumpaskan pemain Australia Daria Gavrilova, Ahad lalu.