Rio 2016: 'Saya tidak tahu nak kata apa' - Yan Yee
Astro Arena
Ogos 15, 2016 21:09 MYT
Ogos 15, 2016 21:09 MYT
Atlet terjun negara, Ng Yan Yee, mengakui melakukan kesilapan pada terjunan keempat yang menjejaskan tumpuannya, sekali gus sekadar menamatkan saingan di tempat ke-10 keseluruhan dalam acara tiga meter papan anjal wanita Sukan Olimpik Rio.
Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu memulakan tiga terjunan awal dengan baik, sebelum kehilangan fokus pada terjunan keempat.
Bagi Yan Yee, dia sudah berusaha bangkit selepas terjunan keempat, namun gagal dan sekadar meraih 306.60 mata keseluruhan.
"Saya tidak tahu nak kata apa. Saya sudah buat yang terbaik yang saya mampu. Ia boleh diperbaiki. Saya harap dapat lakukan dengan lebih baik (pada masa) akan datang," katanya.
Walaupun gagal meraih pingat, Yan Yee berjaya menyerlahkan peningkatan dengan kemaraan ke final, berbanding tempat ke-24 di temasya London, empat tahun lalu.
"Berbanding dengan Olimpik lepas, prestasi saya meningkat banyak. Saya tidak bandingkan dengan sesiapa, saya bandingkan dengan diri saya sendiri.
"Dalam tempoh empat tahun, saya bekerja keras. Terima kasih," katanya.
Saingan itu diungguli Shi Tingmao dari China dengan 406.05 mata, diikuti rakan senegaranya, He Zi, 387.90 mata.
Gangsa diraih Tania Cagnotto dari Itali dengan 372.80 mata.