Rio 2016: Saya mahu jadi legenda seperti Ali dan Pele - Bolt

Astro Arena
Ogos 19, 2016 11:47 MYT
BOLT: "Apa lagi perlu saya lakukan untuk membuktikan saya dalam kalangan atlet terbaik dunia?" - Foto AFP
USAIN Bolt berharap sejarah yang dilakarnya di Rio 2016 akan meletakkan dirinya dalam kalangan atlet legenda dunia seperti Muhammad Ali dan Pele.
Empat hari selepas menjadi atlet pertama untuk menjulang emas dalam tiga edisi Olimpik bagi acara 100 meter, Bolt mengulangi kejayaan sama apabila mudah mendominasi final 200 meter dengan catatan masa 19.78 saat, menewaskan Andre De Grasse dan Christophe Lemaitre.
Susulan kejayaan tersebut, Bolt menegaskan itu mungkin kali terakhir dia bertanding dalam acara 200 meter di samping meluahkan rasa gembira meraih emas Olimpik kelapan dalam kerjayanya.
VIDEO: Ibu mahu Usain Bolt kahwin
BACA: Menang separuh akhir 200 meter, Usain Bolt 'buat muka' lagi
BACA: Raja pecut dunia Bolt rangkul emas 100m, ketiga berturut-turut
"Saya tidak perlu membuktikan apa-apa. Apa lagi perlu saya lakukan untuk membuktikan saya dalam kalangan atlet terbaik dunia?"
"Saya mahu menjadi antara atlet legenda dunia, bersama-sama Ali dan Pele.
"Saya berharap selepas ini, saya tergolong dalam kategori itu."
Ditanya sama ada dia akan beraksi dalam acara sama dalam Kejohanan Dunia di London tahun hadapan, ini jawapan Bolt: "Saya hanya akan berlari dalam acara 100 meter. Inilah yang terakhir."
Bagaimanapun, Bolt mengakui sedikit kecewa kerana gagal memperbaharui catatan rekod dunia 19.19 saat yang dilakarnya ketika di Kejohanan Dunia, Berlin pada 2009.
"Saya kurang berpuas hati dengan catatan masa, saya berlari sekuat mungkin ketika di selekoh. Namun, memasuki laluan lurus, tubuh saya seperti enggan memberi tindak balas.
"Sayas semakin berusia, bukan lagi muda dan bertenaga, tetapi itu perkara biasa. Saya teruja mendapat pingat emas, itu yang paling penting," jelasnya.
#Olimpik Rio #Rio 2016 #Usain Bolt
;