Rio 2016: 'Saya akan rindukan sukan Olimpik' - Usain Bolt

Astro Arena
Ogos 20, 2016 18:36 MYT
Bolt memberitahu, dia akan merindui penonton selepas meninggalkan pentas Olimpik. - Gambar fail
TIADA keraguan lagi, Usain Bolt tidak akan beraksi lagi di pentas sukan Olimpik dan pelari pecut tersohor itu kini lega segala-galanya sudah berakhir.
Bolt memastikan dia menutup kerjaya penuh gemilang di pentas Olimpik dengan penuh bergaya selepas membantu Jamaica meraih emas dalam acara 4x100 meter pada Jumaat.
Atlet berusia 29 tahun itu mempamerkan larian kemas, memacu Jamaica mendahului Jepun dan Amerika Syarikat untuk melunaskan misi 'triple-triple', selepas mendominasi acara 100m, 200m dan 4x100m di Rio.
Pencapaian sama dilakukan ketika di Beijing 2008 dan London 2012.
Tatkala kerjayanya selaku Olimpian sudah berakhir, Bolt kini mahu menggunakan masa yang ada untuk bercuti.
"Perasaan yang cukup baik. Saya sudah bekerja keras demi Olimpik. Saya sudah buktikan bahawa saya atlet terbaik dunia, jadi saya gembira.
"Perasaan saya bercampur-baur ketika ini. Saya lega kerana selama ini saya amat tertekan, apatah lagi ketika mengalami kecederaan. Pada masa sama, saya juga sedih kerana terpaksa meninggalkan pentas Olimpik. Saya akan merindui segala persaingan.
"Saya akan merindui penonton, tetapi saya tidak akan merindui temu ramah seperti ini kerana saya sudah melalui hampir 500 sesi temu ramah sejak berada di Olimpik," jelas Bolt.
Bolt, yang mengangkat dirinya selaku jaguh terbaik dunia, berkata: "Segala beban kini sudah tiada. Saya sudah mengecapi segala-galanya, mencapai segala-galanya. Saya bangga dengan diri saya.
"Orang selalu bertanyakan sama ada saya mampu ditewaskan, tetapi pada saya apabila melibatkan kejohanan dunia, tiada siapa mampu menundukkan saya."
Meingat kembali kempen Olimpiknya, Bolt ditanya sama ada dia dapat menjangka akan mendominasi acara trek sebelum penampilan pertamanya di Beijing, lapan tahun lalu.
"Langsung tidak. Saya tidak pernah menjangka mampu mendominasi tiga edisi Olimpik berturut-turut.
"Di Beijing, saya gembira tetapi di London, saya berdepan cabaran sengit. Namun, penampilan ketiga saya di Rio memang tidak mampu dibayangkan.
"Pada saya, saya telah menetapkan standard yang agak tinggi agar tiada sesiapa pun mampu mengulangi kejayaan saya. Saya bangga dengan pencapaian ini," tambahnya.
#berita Olimpik #berita sukan #jaguh pecut dunia #Olimpik Rio #pelari pecut #Rio 2016 #Usain Bolt
;