Rio 2016: Phelps kongsi rahsia kekal prestasi

Astro Arena
Ogos 9, 2016 10:33 MYT
Antara rahsia stamina Phelps adalah penjagaan pemakanan, tiur yang cukup dan berbekam. - AFP
Michael Phelps berkata tidur tengah hari dan memakan spageti dengan banyak akan memacu keupayaannya untuk memenangi pingat emas Olimpik ke-20 peribadinya.
Olimpian paling berjaya dalam sejarah itu mara ke separuh akhir acara 200 meter kuak kupu-kupu selepas mengakhiri peringkat saringan di belakang Tamas Kenderesi dan Grant Irvine.
Phelps, 31, yang masih segar selepas kejayaan memenangi emas 4x100m gaya bebas, mendedahkan kaedah pemulihannya tanpa menggunakan teknologi tinggi.
Dia berkata: "Saya cuba melakukan selagi yang boleh dengan mengeluarkan kandungan asid laktik, mendapatkan urut, mandi ais dan makan.
"Saya rasa telah makan banyak spageti, yang saya tidak meminatinya, tapi saya paksa juga diri untuk makan.
"Saya rasa mungkin juga sebab saya tidur jam 3 petang, dan tidur jam 11 di atas bas. Mungkin juga kerana tempoh panjang antara peringkat kelayakan dan final. Saya berharap dapat balik tidur sekejap, untuk persediaan perlumbaan malam nanti.
Phelps tidak berahsia mengenai kesan lebam yang jelas kelihatan di bahu belakang dan badannya adalah disebabkan teknik urutan bekam.
"Saya sudah lama mengamalkannya. Tapi sudah lama saya tidak mempunyai kesan lebam seperti ini, selalunya ia berasa sakit.
"Saya sering melakukannya sebelum pertandingan.
"Saya membuat sedikit urutan bekam semalam kerana berasa lenguh selepas berlatih dengan teruk," ujarnya.
#diet atlet #kaedah pemulihan Phelps #Michael Phelps #olimpian #perenang #Rio 2016
;