Rio 2016: Peng Soon tetap juara di hati keluarga

Bernama
Ogos 18, 2016 08:00 MYT
Ibu beregu campuran negara, Chan Peng Soon, Loo Leng Hua (dua kanan) dan adiknya Chan Peng Keat (kanan) bersama ahli keluarga menyaksikan perlawanan akhir beregu campuran. - Foto Bernam
"Menang atau kalah, saya tetap bangga dengan pencapaian Peng Soon di pentas Olimpik," kata bapa kepada pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon.
Chan Chee Kong, 57, menyifatkan pencapaian Peng Soon beraksi pada final Sukan Olimpik di Rio de Janeiro sebagai satu penghormatan kepada keluarganya.
"Saya bangga yang Peng Soon akhirnya berjaya mencapai cita-citanya menjadi atlet bertaraf antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir itu di sebuah kedai kopi, di sini.
Peng Soon-Goh Liu Ying sekadar meraih pingat perak selepas tewas kepada pasangan Indonesia Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir, 14-21, 12-21 dalam perlawanan yang mengambil masa 45 minit itu.
[GALERI FOTO]: Ini aksi beregu campuran negara, Peng Soon-Liu Ying
BACA: Rio 2016: Beregu campuran Liu Ying-Peng Soon raih pingat perak buat Malaysia
Chee Kong berkata apabila Peng Soon pulang ke Pulau Pinang nanti, beliau akan membawa anaknya itu ke tokong sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir di Rio de Janeiro.
"Ini kali pertama saya menonton secara langsung bersama media, ADUN (Anggota Dewan Undangan Negeri) dan Anggota Parlimen. Walaupun kita gagal menewaskan Indonesia, sekurang-kurangnya pasangan negara dapat menyumbang pingat perak," katanya.
Sementara itu, ibu Peng Soon, Loo Leng Hua, 53, berkata anaknya itu telah menunjukkan prestasi yang baik sepanjang perlawanan tersebut.
"Walaupun kalah, Peng Soon tetap juara di hati kami sekeluarga," katanya.
Turut hadir menyaksikan perlawanan itu adik lelaki dan adik perempuan Peng Soon, Chan Peng Keat, 25, dan Chan Lay Cheng, 26, serta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Pengarah Hunza Properties Datuk Seri Khor Teng Tong.
Terdahulu, kira-kira 300 rakyat Pulau Pinang menyaksikan perlawanan akhir itu menerusi skrin besar yang disediakan oleh Hunza Properties.
Khor turut mengumumkan Hunza Properties akan memberi insentif RM50,000 kepada Peng Soon manakala kerajaan negeri turut menghulurkan RM100,000 kepada pemain itu sebagai menghargai sumbangannya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
#Chan Chee Kong #Chan Peng Soon #Liliyana Natsir #Olimpik #Rio 2016 #Tontowi Ahmad
;