Rio 2016: Pemanah Muhammad Akmal tekad bangkit semula

Bernama
Ogos 7, 2016 12:19 MYT
Muhammad Akmal Nor Hasrin ketika ditemui selepas pasukan itu berdepan kekecewaan terbesar di sini, berkata: "Saya akan bangkit semula pada pusingan individu." - Gambar fail
Muhammad Akmal Nor Hasrin kelihatan agak sayu dan berasa terpinggir, selepas mempamerkan prestasi hambar walaupun sebelum ini memainkan peranan penting membantu pasukan recurve lelaki negara melayakkan diri buat kali ketiga dalam Sukan Olimpik.
Walaupun muda dan tidak berpengalaman, pemanah berusia 21 tahun ini membalas kepercayaan jurulatih kebangsaan Lee Jae Hyung apabila panahannya tepat pada sasaran untuk membantu kemaraan pasukan dan akhirnya menewaskan Jerman 6-2 semasa pusingan kelayakan Olimpik di Antalya, Turki, Jun lalu.
Bagaimanapun, tekanan hebat dalam Sukan Olimpik Rio memberi kesan kepada prestasinya apabila beliau gagal membantu pasukan untuk menewaskan Perancis dalam pusingan penyingkiran di sini hari ini.
Selain Akmal, pemain kebangsaan, Khairul Anuar Mohamad dan Haziq Kamaruddin, hanya mengumpul 214 mata dengan Perancis mencatatkan 220 mata untuk kemenangan 6-2 bagi membolehkan pemain Perancis mara ke suku akhir.
Mata yang dikutip Akmal tidak membantu pasukan walaupun prestasi Khairul dan Haziq adalah konsisten.
Ramai pemerhati sukan memanah terkejut apabila jurulatih kebangsaan Lee Jae Hyung meletakkan Akmal dalam pasukan itu untuk pusingan kelayakan di Antalaya bukannya Ikram Joni yang mara ke pusingan ketiga dalam acara individu.
Bagaimanapun, Akmal menunjukkan kemampuannya di Antalaya namun prestasinya di Rio mengecewakan.
Malaysia menduduki ranking ke-12 dan terakhir dalam kelayakan ranking dan diketepikan Perancis yang menduduki ranking kelima pada pusingan penyingkiran.
Kedudukan Akmal berakhir di ranking ke-55 dalam senarai ranking individu dengan 635 mata daripada 72 anak panah manakala Haziq berada di kedudukan ke-50 dengan 645 mata.
Bagaimanapun, Khairul, kekal pemanah terbaik negara apabila dia berada di kedudukan ke-22 dengan 665 mata.
Ketiga-tiga mereka akan bergerak ke pusingan recurve individu pada Isnin.
Akmal ketika ditemui selepas pasukan itu berdepan kekecewaan terbesar di sini, berkata: "Saya akan bangkit semula pada pusingan individu."
Katanya, beliau telah mengecewakan kepercayaan jurulatih Korea kepadanya selepas tekanan yang dialaminya memberi kesan kepada persembahannya.
"Saya akan membuat sedikit pindaan dan mengembalikan semula keyakinan yang ada apabila saya bertanding dalam pusingan individu," katanya.
#Muhammad Akmal Nor Hasrin
;