Rio 2016: Ng Yan Yee wakil tunggal negara ke separuh akhir

Astro Arena
Ogos 13, 2016 17:01 MYT
Yan Yee berjaya menyertai kelompok 18 terbaik, apabila menamatkan cabaran di tangga ke-17 dengan 299.05 mata.
Ng Yan Yee menggalas harapan besar skuad terjun negara apabila muncul wakil tunggal layak ke separuh akhir acara 3 meter papan anjal individu wanita dalam Sukan Olimpik Rio 2016 ketika Cheong Jun Hoong berdepan masalah prestasi.
Impian Malaysia untuk menambah pingat kedua menerusi acara terjun kini nampak samar.
Hanya Yan Yee layak ke separuh akhir selepas mempamerkan kebangkitan pada hujung saingan peringkat kelayakan.
Penerjun kelahiran Kuala Lumpur itu menghuni tangga kelapan selepas terjunan pertama, sebelum bergelut dalam baki empat terjunan terakhir.
Bagaimanapun, Yan Yee tetap berjaya menyertai kelompok 18 terbaik, apabila menamatkan cabaran di tangga ke-17 dengan 299.05 mata.
"Prestasi saya semakin baik, saya sangat bersyukur saya layak ke separuh akhir.
"Saya berharap esok saya akan beraksi dengan lebih baik lagi dan saya akan mencuba untuk beraksi dengan sebaik mungkin untuk layak ke final," jelasnya.
Pencapaian itu merupakan peningkatan untuknya berbanding Olimpik London 2012 kerana ketika itu dia hanya meraih tangga ke-24 peringkat kelayakan, sekali gus gagal ke separuh akhir.
#atlet Malaysia #ng yan yee #Olimpik Rio #penerjun negara #Rio 2016
;