Rio 2016: Lee Chong Wei mara ke separuh akhir

Astro Awani
Ogos 17, 2016 19:59 MYT
Lee Chong Wei menewaskan pemain Taiwan Chou Tien-chen malam ini. - Gambar Astro Awani
Jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei seperti diduga mudah melepasi peringkat suku akhir.
Chong Wei mudah menundukkan pemain Taiwan Chou Tien-chen dengan melakar kemenangan straight set.
Chong Wei menguasai set pertama sebelum menamatkannya dengan keputusan 21-9.
Set kedua Tien-chen cuba bangkit memberi tentangan.
Namun pengalaman mengatasi segalanya, Chong Wei terus mendominasi permainan sebelum mengesahkan kemenangan 21-15.
"Saya tidak anggap perlawanan ini mudah. Saya ada membuat beberapa kesilapan di set kedua sehingga membenarkan lawan mengutip mata.
"Pada masa sama, saya juga berterima kasih kepada sokongan rakan-rakan yang datang (merujuk kepada kehadiran beberapa bekas pemain kebangsaan). Begitu juga dengan sokongan penyokong Malaysia," kata Chong Wei sebagai memetik laporan Bernama.
Chong Wei akan menentang pemenang perlawanan suku akhir antara juara Olimpik dua kali, Lin Dan dari China dan pemain India, K. Srikanth.
"Sememangnya saya bersedia menghadapi perlawanan yang paling susah kerana tiada yang mudah di Sukan Olimpik ini.
"Apa yang penting saya perlu kekal fokus dan sememangnya ada tekanan tersendiri untuk saya kerana ini adalah penampilan terakhir saya di Olimpik.
"Saya perlu mengawal tekanan dalam diri sendiri dan berharap dapat mengikut jejak beregu campuran dan lelaki negara yang mara ke final," kata pemenang dua pingat perak Olimpik pada 2008 dan 2012 itu.
Dalam kedua-dua final edisi itu, Chong Wei tewas kepada musuh tradisinya, Lin Dan dan masih tercari-cari pingat emas sulung dalam penampilan keempatnya di temasya Olimpik.
Perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki akan dilangsungkan Jumaat ini.
#Chou Tien-chen #Lee Chong Wei #Olimpik #Rio 2016
;