Rio 2016: Kerajaan negeri Melaka umum ganjaran RM50,000 buat Liu Ying-Peng Soon

Raffi Bachik
Ogos 17, 2016 07:50 MYT
Ketua Menteri MelakaDatuk Seri Idris Haron (kanan) beramah mesra dengan ibubapa pemain badminton Goh Liu Ying, Goh Chak Whee dan isteri Yong Ooi Lin ketika menunggu untuk menonton perlawanan akhir kategori beregu campuran Sukan Olimpik. - fotoBernama
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron mengumumkan insentif RM50,000 daripada kerajaan negeri kepada pasangan beregu campuran negara, Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon yang berjaya meraih pingat perak kedua buat Malaysia di temasya Olimpik Rio 2016.
Selain ganjaran tunai, kerajaan negeri turut bersedia memberi ganjaran dalam bentuk lain yang bersesuaian.
Menurut Idris, ganjaran adalah sebagai menghargai jasa Goh Liu Ying, yang merupakan anak jati Melaka dan pasangannya Chan Peng Soon yang berasal dari Pulau Pinang.
LAPOR LANGSUNG: Beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying buru emas
GALERI FOTO: Kilauan perak dari beregu campuran, Liu Ying-Peng Soon
“Kerajaan negeri telah pun bersetuju untuk memberikan RM25,000 (kepada Goh Liu Ying)dan pasangannya (Chan Peng Soon) kerana kejayaan ini adalah kerja berpasukan dan kita tidak memilih-milih hanya untuk orang Melaka sahaja,” katanya selepas menyaksikan perlawanan akhir beregu campuran di sini awal pagi tadi.
Selain itu, beliau turut mempertimbangkan pemberian pingat kebesaran negeri kepada Liu Ying.
“Kerajaan negeri akan memikirkan ganjaran bentuk lain dan Liu Ying akan dipertimbangkan menerima pingat peringkat negeri Melaka. Setahu saya beliau adalah anak perempuan pertama yang datang dari negeri Melaka yang mendapat pingat di peringkat Olimpik, ini adalah pencapaian yang cukup besar,” katanya lagi.
Gandingan Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon berjaya meraih pingat perak kedua buat Malaysia selepas ditewaskan beregu campuran Indonesia dalam straight set, 21-14 dan 21-12 di peringkat akhir yang berlangsung di arena Riocentro, Rio de Janeiro awal pagi Khamis (waktu Malaysia).
#badminton #beregu campuran #Chan Peng Soon #Goh Liu Ying #idris haron #Ketua Menteri Melaka #Olimpik Rio #Rio 2016
;