Rio 2016: Jonathan gementar, gagal buat bidikan tepat

Bernama
Ogos 7, 2016 11:33 MYT
Atlet menembak negara Jonathan Wong Guanjie melakukan bidikan ketika sesi kelayakan 10 meter air pistol lelaki sempena Sukan Olimpik Rio 2016 di Pusat Menembak Olimpik, 6 Ogos, 2016. - fotoBERNAMA
Penembak Negara Jonathan Wong Guanjie gagal melayakkan diri ke pusingan akhir acara 10m air pistol individu lelaki di Sukan Olimpik Rio yang berlangsung di Pusat Menembak Olimpik di Deodoro, kira-kira 44km dari sini, Sabtu.
Pelajar universiti berusia 24 tahun ini, gagal memecahkan rekod kebangsaannya selepas mengutip 585 mata yang dicatatkan pada kejohanan kebangsaan tahun lepas dan hanya memperoleh 574 mata dalam pusingan kelayakan itu.
Beliau menduduki tangga ke-28 daripada 46 penembak dan ketinggalan enam mata untuk melepasi had kelayakan 580 mata ke pusingan akhir.
Jonathan, pelajar tahun tiga kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia, mengakui skor purata yang rendah itu disebabkan perasaan gementarnya yang pertama kali membuat kemunculan di Olimpik dan berjanji akan memberi tumpuan dan membuat bidikan lebih baik dalam acara 50m air pistol pada Isnin.
Beliau berkata walaupun 50m air pistol bukan acara kegemarannya beliau berharap dapat memperbaiki catatan peribadinya 556 mata dalam acara itu.
"Saya yakin untuk melakukan yang lebih baik dan menggunakan acara tambahan ini untuk mendapatkan lebih banyak pendedahan," kata Jonathan.
Lapan penembak terbaik diketuai juara bertahan Jin Jongoh dari Korea Selatan berjaya ke final selepas mengutip 584 mata di belakang atlet China, Pang Wei yang meraih 590 mata.
Jin Jongoh, yang menyasarkan menjadi penembak pertama dalam sejarah Olimpik berjaya mengekalkan pingat emas yang diraih pada temasya sebelum ini, juga pemegang rekod dunia selepas mengutip 594 mata pada 2009.
Bagaimanapun, dalam pusingan akhir, Jin Jongoh berada di kedudukan kelima apabila Hoang Xuan Ving memenangi pingat emas pertama Vietnam diikuti negara tuan rumah Felipe Almeida Wu yang mendapat perak manakala Pang Wei meraih gangsa.
#Jonathan Wong Guanjie #Penembak #Rio 2016
;