Rio 2016: Dhabitah sasar pingat bersama Jun Hoong
Astro Arena
Ogos 7, 2016 17:12 MYT
Ogos 7, 2016 17:12 MYT
Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri, menyifatkan gandingannya bersama Cheong Jun Hoong sudah mencapai kemuncak untuk mencipta kejutan meraih pingat dalam acara 3m papan anjal seirama Sukan Olimpik Rio 2016, Ahad ini.
Dhabitah adalah antara enam penerjun negara yang layak ke Rio dengan prospek menyumbang pingat susulan kejayaan Pandelela Rinong meraih gangsa di London, empat tahun lalu.
Dhabitah yakin keserasiannya bersama Jun Hoong mampu mencipta kejutan selepas menjalani latihan pusat hampir tiga bulan di China.
Lebih mudah, hanya lapan negara layak bertanding acara 3m papan anjal seirama wanita, sekali gus terus ke final.
"Saya memang sasar untuk dapat pingat dalam acara seirama.
"Kerana Jun Hoong atlet yang bagus, jadi kami berpeluang sekiranya mampu menampilkan aksi terbaik pada hari itu," ujarnya.
Skuad terjun negara antara yang membuat persiapan rapi untuk Rio dengan latihan di luar negara sejak awal tahun ini selain datang awal ke Rio untuk menguji venue pertandingan, Pusat Akuatik Maria Lenk.
Peluang terbaik Malaysia ialah dalam 10m platform seirama selepas gandingan Pandelela/Jun Hoong meraih pingat Piala Dunia, Siri Dunia dan Kejohanan Dunia.