Rio 2016: Dhabitah, Pandelela terlepas pingat terjun 10m platform
Astro Awani
Ogos 18, 2016 07:00 MYT
Ogos 18, 2016 07:00 MYT
Kem acara terjun negara terpaksa berpuas hati dengan pencapaian dua wakil negara meskipun gagal meraih sebarang pingat dalam acara akhir terjun perseorangan wanita 10m platform Sukan Olimpik Rio pagi tadi.
Wakil negara Nur Dhabitah Sabri mengakhiri saingan di tempat ke sembilan dengan mengumpul 338.00 mata manakala Pandelela Rinong Pamg di tempat ke 11 dari 12 peserta akhir.
Pandelela yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik London 2012, mengumpul 330.45 mata.
Acara dimenangi oleh penerjun China, Ren Qian dengan 439.25 mata dan rakan senegaranya, Si Yajie memungut perak dengan 419.40 mata.
Penerjun Kanada Meaghan Benfeito meraih gangsa dengan 389.20 mata.
Sementara itu kecederaan berterusan yang dialaminya menghalang Pandelela Rinong ke podium sekali lagi.
Kecederaan yang berulang menjejaskan peluang anak Sarawak itu yang mendapat sokongan moral daripada ibu, bapa dan abangnya yang turut hadir untuk bersama-sama melihat dia beraksi.
"Semangat itu ada tapi kekuatan tiada, " kata Pandelela yang mengakui ini bukan hari terbaiknya.
Kecederaan menghantuinya pada bahu, belakang dan pinggang sejak dua bulan sebelum Sukan Olimpik berlangsung.