Rio 2016: Demi negara tercinta, bukan ganjaran yang diburu - Azizulhasni

Astro Arena
Ogos 18, 2016 20:21 MYT
AZIZULHASNI: Saya mahu kita mempunyai velodrom tertutup yang bakal disiapkan.
Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, menegaskan dia tidak pernah mengejar ganjaran di sebalik menerima khabar gembira bakal diberi bonus tambahan apabila penajanya mahu menghadiahkan RM100,000 di atas kejayaannya meraih pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio.
"Pihak Yayasan Sime Darby ingin memberi insentif kepada saya di atas kejayaan di Rio ini, saya ucapkan terima kasih banyak atas penghargaan dan sokongan oleh keluarga Yayasan Sime Darby.
"Tapi bagi saya, saya tak terfikir untuk insentif dan wang ringgit kerana apa yang saya lakukan ini adalah untuk negara tercinta dan saya berjuang untuk bangsa dan negara," ujarnya.
Susulan kejayaannya di Rio itu, Stadium Velodrom Tertutup di Nilai juga dicadang dinamakan dengan nama Azizulhasni.
"Saya tak terfikir dan berharap velodrom itu dinamakan sempena nama saya. Tapi kalau pihak Malaysia ingin menamakan dengan nama saya, saya bersyukur. Saya ucapkan terima kasih dan ia satu penghargaan terbesar buat diri saya.
"Sekurang-kurangnya nanti, jika saya tiada lagi di dunia, adalah peringatan di atas bakti yang saya curahkan dalam sukan berbasikal Malaysia.
"Apapun, yang saya mahu kita mempunyai velodrom tertutup yang bakal disiapkan.
"Saya harap ia dapat digunakan oleh seluruh rakyat Malaysia, terutama pencinta sukan berbasikal Malaysia, dan juga mereka juga yang ingin mendekati sukan berbasikal."
#acara berbasikal trek #atlet Malaysia #Azizulhasni Awang #Olimpik Rio #Rio 2016
;