Rio 2016: Bolt perlahan daripada Gatlin dalam saringan

Astro Arena
Ogos 14, 2016 00:43 MYT
Bolt catat masa 10.07s untuk melayakkan diri ke separuh akhir. - Foto AFP
Usain Bolt berasakan lariannya perlahan walaupun memenangi saringan 100 meter dalam perlumbaan pertamanya di Sukan Olimpik Rio 2016, malam tadi.
Pemegang rekod dunia, Bolt, mencatat masa 10.07s untuk melayakkan diri ke separuh akhir, dengan berada di tangga keempat terpantas keseluruhan.
Pelari dari Jamaica itu bermula perlahan sebelum mencecah garisan penamat di kedudukan pertama, meninggalkan pencabar terdekat, Andrew Fisher (10.12s).
Atlet dari Amerika Syarikat, Justin Gatlin, merekodkan catatan terpantas dalam peringkat saringan dengan 10.01s dan Bolt mengakui dia mempunyai tugas yang perlu dilakukan jika mahu berjaya dalam usahanya memburu gelaran emas 'triple-triple', acara 100m, 200m dan kuartet 4x100m.
"Ia bukan permulaan yang terbaik. Saya rasa perlahan. Saya tidak (sepatutnya) berlari seperti ini dalam mana-mana kejohanan," kata Bolt. "Mudah-mudahan esok (hari ini), saya akan tampil lebih baik dan lebih lancar.
"Saya berasa baik. Saya gembira. Saya yang pertama keluar (menamatkan perlumbaan), jadi saya gembira dengan keadaan itu. Sekarang ini, semua tentang pelaksanaan dengan betul apabila berada di peringkat akhir.
"Ia pasti akan menjadi baik (dalam) separuh akhir. Terdapat ramai atlet berlari pantas. Jadi, ia akan disusun dalam separuh akhir.
"Ia membawa kepada larian (sebenar) dan membawa sehingga ke kelajuan untuk ke peringkat akhir."
Catatan keseluruhan peringkat saringan menyaksikan pelumba dari Ivory Coast, Ben Youssef Meite, berada di kedudukan ketiga dengan 10.03s dan Andre De Grasse dari Kanada di tempat ketiga dengan 10.04s.
#acara trek #Olimpik Rio #pelari pecut #Rio 2016 #triple-triple #Usain Bolt