Rio 2016: Beregu campuran Liu Ying-Peng Soon raih pingat perak buat Malaysia

Astro Awani
Ogos 17, 2016 01:02 MYT
Aksi sengit beregu campuran Malaysia. - Gambar fail
Beregu campuran negara, Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon berjaya meraih pingat perak kedua buat Malaysia selepas ditewaskan beregu campuran Indonesia dalam straight set, 21-14 dan 21-12 di peringkat akhir yang berlangsung di arena Riocentro, Rio de Janeiro awal pagi Khamis (waktu Malaysia).
Laluan gandingan negara sememangnya sukar kerana hanya menang sekali daripada sembilan pertemuan dengan juara dunia 2013 itu, termasuk yang terbaru apabila tewas 15-21, 11-21 dalam aksi peringkat kumpulan Sabtu lepas.
"Kami sudah cuba yang terbaik tapi lawan jelas lebih bagus," kata Peng Soon yang turut berterima kasih kepada penyokong terutama isterinya, Cham May May dan keluarganya di Pulau Pinang.
Dalam set pertama, Peng Soon-Liu Ying sekadar dapat merapatkan mata kedudukan pada 9-11, sebelum gandingan Indonesia itu melebarkan jurang dan menamatkan set itu dengan 14-21.
[LAPOR LANGSUNG]: Semangat beregu campuran negara buru pingat emas pertama Malaysia
Cerita sama juga berlaku dalam set kedua apabila pasangan negara memberi harapan seketika pada kedudukan 10-13, sebelum Tontowi-Liliyana memastikan kemenangan yang cukup istimewa untuk kemerdekaan Indonesia ke-71, dengan 12-21, lapor Bernama.
Namun, Peng Soon-Liu Ying yang mencipta sejarah menjadi beregu campuran pertama negara mara ke final, tetap mampu berbangga apabila pulang dengan pingat perak.
"Saya masih tidak percaya dapat bermain di final Olimpik walaupun ini bukan permainan yang terbaik daripada kami.
"Sekarang beregu campuran negara semakin meningkat dan saya percaya untuk Sukan Olimpik akan datang, kita juga boleh mengharapkan sesuatu," kata Liu Ying.
Malaysia masih berpeluang mencari pingat emas pertama Olimpik menerusi acara beregu lelaki apabila Goh V Shem-Tan Eee Kiong akan beraksi menentang Fu Haifeng and Zhang Nan dari China di final Jumaat ini.
Datuk Lee Chong Wei juga masih pada landasan tepat memenuhi impian emasnya apabila akan berdepan musuh tradisinya dari China, Lin Dan di separuh akhir, juga pada Jumaat.
Peng Soon-Liu Ying mencipta sejarah mara ke final dan kutipan pingat perak mereka menambah kepada perak yang disumbang gandingan terjun, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong dan gangsa acara keirin oleh Azizulhasni Awang.
Setakat ini, kontinjen negara mencatat kutipan pingat terbanyak dalam sejarah penyertaan di Sukan Olimpik, mengatasi pencapaian 1996 dan 2012 apabila masing-masing mendapat satu perak dan satu gangsa.
Beregu campuran negara itu, yang digandingkan sejak 2009, menampilkan aksi membanggakan untuk mara ke final.
Bagaimanapun, gandingan itu terpaksa dipisahkan seketika apabila Liu Ying menjalani pembedahan di kedua-dua lututnya pada 2014 sebelum kembali bergandingan semula selepas 11 bulan.
Mereka pernah menjuarai Kejohanan Asia pada 2010 sebelum memenangi emas di Sukan Komanwel edisi 2010 dan 2014.
#beregu campuran #Rio 2016.Olimpik
;