Rio 2016: Atlet renang Ethopia 'perut buncit' jadi bualan netizen
Kohilah Sekaran
Ogos 11, 2016 18:36 MYT
Ogos 11, 2016 18:36 MYT
Jika sebelum ini, kisah atlet gimnastik Mexico dipersenda kerana bertubuh gempal, kali ini kisah atlet renang Ethopia di Olimpik Rio 2016 menjadi perbualan netizen.
Robel Kiros Habte, 24 tahun menjadi perbualan netizen apabila tampil dengan susuk tubuhnya yang gempal dan berperut buncit.
Netizen yang menyifatkan atlet itu sebagai ‘Dad bod’ berkata Habte kelihatan seperti lelaki yang sudah berkahwin dan bukannya seperti seorang atlet.
Menurut Los Angeles Times, ini merupakan kali pertama Habte menyertai kejohanan ini untuk acara 100 meter gaya bebas yang berlangsung pada Selasa.
Dia meraih tempat terakhir dari kalangan 59 atlet dengan catatan masa selama 1 minit 4.95 saat.
Selain itu, netizen juga bertanya-tanya bagaimana dia dapat beraksi di Rio.
Namun, ada yang bangga dengan tindakan Habte.
Menurut laporan Huffington Post, Habte memasuki kejohanan itu melalui jemputan khas daripada badan pentadbiran antarabangsa renang, Fédération Internationale de Natation (FINA).
Jemputan telah ditawarkan kepada atlet dari negara-negara yang tidak mempunyai banyak pesaing untuk mewakili mereka di kejohanan tersebut.
Ethiopia, yang lebih dikenali dalam acara olahraga berbanding renang menghantar 35 atlet ke Rio.