Rio 2016: Aksi cemerlang V Shem dapat pujian bapa
Bernama
Ogos 20, 2016 08:25 MYT
Ogos 20, 2016 08:25 MYT
Bapa kepada Goh V Shem, Ricky Goh memuji persembahan cemerlang ditampilkan anaknya dan Tan Wee Kiong walaupun tewas pada aksi final badminton beregu lelaki Sukan Olimpik Rio di Brazil, semalam.
V Shem-Wee Kiong kalah 21-16, 11-21 dan 21-23 kepada pasangan keempat dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan dari China pada aksi final yang penuh mendebarkan.
"Kita tidak pernah jangka mereka akan raih pingat perak kerana saya dan isteri cuma beri nasihat kepada V Shem untuk pamerkan aksi terbaik...kalau dapat gangsa pun sudah bagus.
"Saya gembira kerana mereka bermain bermati-matian pada aksi final dan itu sudah cukup mengembirakan saya...siapa tidak mahu pingat emas tapi nasib mungkin tak ada pada mereka kali ini," kata Goh ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan final acara berkenaan, di sini pada Jumaat.
Goh berkata beliau serta isterinya, Ng Ley Kin serta sanak saudara akan menyambut kepulangan V Shem apabila skuad badminton negara kembali ke tanah air pada 24 Ogos ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.
"Kita turut akan mengadakan jamuan besar-besaran bagi menghargai pencapaian beliau," katanya.
Goh turut mendedahkan hanya berhubung dengan anaknya menerusi aplikasi Whatsapp kerana tidak mahu mengganggu persediaan pemain berusia 27 tahun itu.