Rifdean, Chi Hui dinobat Olahragawan, Olahragawati Perak 2021/2022

Bernama
Ogos 12, 2023 08:00 MYT
Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan bergambar bersama penerima Anugerah Olahragawan, Mohamad Rifdean Masdor (tiga, kiri) dan Olahragawati, Nyo Chi Hui (tiga, kanan) pada Majlis Anugerah Sukan Negeri malam tadi. - Gambar BERNAMA
IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada atlet sukan Muaythai, Mohamad Rifdean Masdor dan atlet berbasikal, Nyo Chi Hui, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Perak 2021/2022, di sini, malam ini.
Baginda berangkat ke Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak 2021/2022 diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Keberangkatan tiba baginda berdua di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, pada jam 8.30 malam itu disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan beberapa orangan kenamaan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak, Mazlan Mohamad.
Mohamad Rifdean, pemenang pingat emas menerusi kategori 48 kilogram (kg) di Kejohanan IMFA Dunia 20221 di Abu Dhabi dan Nyo Chi Hui, pemenang emas Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Asia ke-28 di New Delhi pada tahun 2022 dengan masing-masing menerima sepasang blazer, piala dan insentif bernilai RM7,000.
SUKAN-NAZRIN 2 (AKHIR) IPOH
Dalam majlis tersebut, 10 lagi penerima anugerah pelbagai kategori yang disampaikan oleh Saarani dan Khairudin.
Pelari pecut sensasi negara, Mohammad Azeem Mohamad Fahmi dan pemain tenis, Shihomi Leong, masing-masing memenangi anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan serta menerima insentif sebanyak RM3,000.
Sementara itu, Bernard Radin (Muaythai) merangkul Anugerah Jurulatih Terbaik, Pasukan Terbaik pula dianugerahkan kepada skuad hoki Piala Tun Abdul Razak dan Anugerah Kepimpinan Sukan diterima oleh Tengku Datin Seri Noor Hazah Al'Hajjah (boling padang).
Anugerah Jasamu Dikenang disampaikan kepada legenda hoki, Foo Keat Seong, Anugerah Keluarga Sukan kepada Mohammad 'Ariffin Abu Bakar (petanque) dan Anugerah Media diberikan kepada wartawan Utusan Malaysia, Sayed Mohd Hesham Syed Idris,yang juga Presiden Persatuan Pengamal Media Negeri Perak.
Majlis itu turut menyaksikan Atlet Terbaik Para Wanita, Nur Jannaton Sarnoh (memanah) dan Atlet Terbaik Para Lelaki, Mohammad Ashraf Mohd Haisham (olahraga) menerima Anugerah Khas dan masing-masing membawa pulang piala serta insentif sebanyak RM7,000.
Piala Pusingan Juara Keseluruhan Karnival Sukan Perak (SUPER) 2023 pula dimenangi oleh daerah Kinta.
-- BERNAMA
#Sultan Perak #Olahragawan Perak #Olahragawati Perak #Majlis Anugerah Sukan Negeri Perak
;