Ridzuan Puzi layak ke pentas final 100m di London

Bernama
Julai 22, 2017 21:25 MYT
Mohd Rizduan, anak kelahiran Perlis berusia 29 tahun itu, merupakan pemegang rekod Sukan Paralimpik dengan 12.07s yang diciptanya di Rio de Janeiro, tahun lepas. - Gambar fail
JUARA bertahan Mohd Ridzuan Mohd Fuzi layak ke final acara 100m T36 (cerebral palsy) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London, hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu, mencatatkan masa 12.29s untuk memenangi saringan pertama diikuti pemenang pingat gangsa Sukan Paralimpik Rio, Rodrigo Parreira Da Silva dari Brazil dengan 12.6s dan wakili Ukraine, Roman Pavlyk, di tempat ketiga dengan catatan masa 12.83s.
Mohd Ridzuan dijangka akan menerima cabaran sengit daripada pemenang pingat perak Sukan Paralimpik Rio, Yang Yifei selepas atlet China itu memenangi saringan kedua dengan catatan masa yang sama (12.29s).
Atlet Great Britain, Ballard Graeme (12.66s) dan Cluksza Krzysztof dari Poland (12.94s) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam saringan kedua.
Turut layak ke pentas final esok (3 pagi waktu Malaysia) ialah atlet Australia, Davidson Brayden yang menduduki tempat keempat pada saringan kedua dengan catatan masa 13.13s.
Mohd Rizduan, anak kelahiran Perlis berusia 29 tahun itu, merupakan pemegang rekod Sukan Paralimpik dengan 12.07s yang diciptanya di Rio de Janeiro, tahun lepas dan memenangi kejohanan olahraga para dunia edisi lepas di Doha dengan masa 12.08s pada 2015.
Malaysia akan merangkul pingat emas ketiga seandainya Mohd Ridzuan mempertahankan gelarannya selepas Muhamad Ziyad Zolkefli menghadiahkan emas dalam acara lontar peluru F20 dengan rekod baharu dunia 17.29m dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20, Sabtu lalu.
-- BERNAMA
#kejohanan #London #olahraga #para #Ridzuan Puzi #T36
;