Ridzuan, Latif janji tidak akan lupa diri

Astro Arena
November 2, 2016 08:02 MYT
Ridzuan (kiri) sewaktu acara sambutan kontinjen Paralimpik Rio negara yang meraih tiga pingat emas dan satu gangsa pada kejohanan tersebut September lalu. - Foto Bernama
ATLET Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly, memberi jaminan bahawa mereka tidak akan sesekali lupa diri dengan imbuhan yang diterima, bahkan kini kembali giat memulakan latihan.
Ridzuan, pemenang pingat emas sulung Sukan Paralimpik Rio, sedar dengan kebimbangan jurulatih, R. Jeganathan, bahawa atletnya mula lalai jika terus mendapat imbuhan selepas ini.
Bagaimanapun, atlet berkenaan memberi jaminan bahawa dia masih berpijak di bumi nyata dan kemewahan yang diperoleh tidak sesekali mengubah sikapnya selain berjanji untuk terus berusaha mencipta kejayaan di pentas dunia.
“Walaupun saya menerima banyak imbuhan, saya masih mahu melakukan catatan masa yang lebih baik lagi. Apa yang penting, saya mahu memecah lebih banyak rekod lagi,” kata Ridzuan.
Bagi Latif, dia mengetahui seseorang atlet boleh tenggelam dengan insentif demi insentif yang diterima.
Namun, itu bukanlah sikap sebenar dirinya yang mudah lupa diri kerana masih banyak kejayaan perlu dikecapi dan kini dalam proses mencari kembali momentum selepas sebulan tidak menjalani latihan.
“Minggu ini, kami telah mula menjalani latihan selepas sebulan kami berehat,” jelas Latif.
#Abdul Latif Romly #Khairy Jamaluddin #Lee Chong Wei #Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi #Muhammad Ziyad Zolkefli #Rio Paralympics #Sukan SEA
;