Richarlison terpaksa dapatkan rawatan psikologi

Sinar Harian
September 14, 2023 10:50 MYT
Richarlison hanya menjaringkan empat gol dalam 40 perlawanan untuk Tottenham Hotspur. - Gambar fail AP
PENYERANG Tottenham Hotspur, Richarlison berkata, dia akan mendapatkan bantuan psikologi sekembalinya ke England selepas menangis ketika digantikan dalam perlawanan yang menyaksikan Brazil membelasah Bolivia 5-1 Jumaat lalu.
Pemain Brazil berusia 26 tahun itu dirakamkan menangis di bangku simpanan selepas dikeluarkan pada minit ke-71 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Belem.
Penyerang itu yang hanya menjaringkan empat gol dalam 40 perlawanan untuk Spurs memberitahu akhbar Brazil, O Globo bahawa dia telah melalui masa yang sukar di luar padang sejak lima bulan lalu tetapi segalanya telah selesai.
“Sekarang keadaan sudah betul di rumah.
"Orang yang hanya mengejar wang saya telah pergi dari hidup saya.
“Sekarang, keadaan akan kembali betul dan saya pasti saya akan dapat prestasi yang baik di Tottenham.
“Saya akan kembali ke England dan mendapatkan bantuan psikologi untuk memulihkan fikiran saya," katanya.
Tottenham yang kini di bawah pengurus baharu Ange Postecoglou menduduki tempat kedua dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pengendali dari Australia itu bulan lalu terus menyokong Richarlison untuk meledak jaringan walaupun bekas pemain Everton itu agak bergelut di depan gawang. - Sinar Harian
#Brazil #Richarlison #Tottenham Hotspur FC #psikologi
;