Rezal Zambery dilantik Pengarah Pembangunan Akar Umbi KUFC

Bernama
Julai 13, 2023 05:15 MYT
Rezal Zambery mengucapkan terima kasih kepada KUFC atas kepercayaan yang diberikan kepadanya bagi mengisi jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC. - Gambar fail/Astro ARENA
KOTA BHARU: Bekas Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Akar Umbi Kelantan United FC (KUFC), berkuat kuasa semalam.
Pengarah Eksekutif (KUFC) Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata Rezal Zambery yang juga bekas pemain kebangsaan berpengalaman luas ketika kariernya sebagai pemain dan jurulatih, dalam memperbaiki dan meningkatkan program akar umbi serta pembangunan pemain muda Sang Kijang Hijau.
"Tugas beliau bukan sahaja dari aspek teknikal malah diberi tanggungjawab cukup besar memantau dan melaksanakan keseluruhan program serta pembangunan bola sepak KUFC di Kelantan.
"Pihak pengurusan percaya beliau berupaya membawa perubahan kepada program pembangunan bermula dari program akar umbi seterusnya mampu mengetengahkan bakat ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dalam kenyataan sama, Wan Mohd Zul Ikman berkata pihaknya mendapatkan khidmat dua pemain Terengganu FC secara pinjaman.
Beliau berkata pemain berkenaan adalah pemain sayap, Muhammad Faiz Mohd Nasir dan pemain pertahanan, Muhammad Azarul Nazarith Azhar.
"Kedua-dua pemain ini dibawa masuk dalam usaha pihak kelab untuk menambah sengat benteng pertahanan serta jentera serangan pasukan sehingga akhir musim ini," katanya.
Sementara itu, Rezal Zambery mengucapkan terima kasih kepada KUFC atas kepercayaan yang diberikan kepadanya bagi mengisi jawatan tersebut.
Beliau mengakui sudah diberi penerangan sangat jelas berhubung beberapa program besar yang akan dilaksanakan menyebabkan tertarik untuk bersama KUFC bagi menjayakan projek tersebut.
-- BERNAMA
#Rezal Zambery Yahya #Kelantan United FC #program pembangunan #pinjam pemain Terengganu FC
;