Rezal Zambery akui perancangan bersama Kelantan terjejas kerana penggantungan

Astro Arena
Januari 1, 2022 06:22 MYT
Rezal Zambery digantung daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak selama dua bulan. - Foto Astro ARENA
KETUA jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya, akui perancangan pasukannya untuk menghadapi musim baru Liga Malaysia terjejas selepas dia digantung selama dua bulan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pengendali berusia 44 tahun itu berharap barisan penolongnya akan dapat merencana sebuah skuad ampuh sepanjang tempoh pramusim dan penggantungannya.
Rezal Zambery digantung daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak selama dua bulan, termasuk aktiviti pengurusan, pentadbiran, kesukanan bola sepak serta sebarang aktiviti yang berkaitan dengannya.
Ini selepas dia didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM atas tindakannya yang membuat kenyataan/komen semasa temu ramah berhubung isu yang melibatkan FAM tanpa kebenaran di mana kenyataan/komen semasa temu ramah itu secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia pada perlawanan Piala Malaysia di antara Kelantan dan Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 30 September lalu.
Dengan turut didenda sebanyak RM10,000, tempoh penggantungannya, bagaimanapun, disingkatkan kepada sebulan dan tempoh sebulan lagi ditangguhkan dan tertakluk kepada kelakuan baiknya sepanjang 12 bulan ini.
Hukuman itu turut menyaksikan Rezal Zambery tidak dapat menyertai persiapan pasukannya sepanjang pramusim menjelang saingan Liga Perdana kali ini.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Saya terima segala keputusan yang telah dikeluarkan oleh pihak FAM dengan hati yang terbuka.
"Bagi saya, ia merupakan satu pembelajaran dan boleh dikatakan sebagai pengalaman yang baru buat saya.
"Sebagai jurulatih, perkara itu sudah pasti sedikit-sebanyak mengganggu perancangan saya tetapi apapun, saya menyerahkan kepada barisan penolong jurulatih saya untuk menjalankan program yang telah kami sediakan supaya apa yang kami rancangkan dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya.
Kelantan akan menjalani latihan selama sebulan di Nilai, Negeri Sembilan berikutan faktor cuaca yang tidak menentu di Pantai Timur.
Pasukan Liga Perdana itu juga kini dalam rangka akhir dalam memuktamadkan senarai pemain tempatan dan import bagi saingan musim 2022.
#Rezal Zambery Yahya #gantung #Kelantan FC #Liga Perdana Malaysia
;