Rexy perlu saji 'ramuan baharu' kepada pemain untuk layak Olimpik - James
Bernama
Januari 15, 2024 08:00 MYT
Januari 15, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diketuai Rexy Mainaky perlu menyajikan "ramuan baharu" kepada pemain badminton negara bagi memastikan mereka mempamerkan aksi konsisten bagi mengumpul mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Bekas pemain perseorangan negara Datuk James Selvaraj mengakui gusar melihat pemain badminton negara bermula dengan langkah kiri dalam siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila tiada kelibat pemain negara dalam aksi separuh akhir dan akhir Terbuka Malaysia 2024 yang membuka tirai Selasa lepas (9-14 Jan).
Beliau menegaskan barisan kejurulatihan dan pemain seharusnya sedar harapan menggunung rakyat Malaysia untuk menyaksikan atlet kesayangan mereka mempamerkan aksi berimpak tinggi terutamanya apabila tempoh kelayakan Sukan Olimpik 2024 bermula Mei tahun lepas akan berakhir April ini.
"Amat mengecewakan apabila tiada wakil pemain negara dalam kejohanan anjuran kita sendiri. Bahkan mereka tidak berjaya mara ke suku akhir kerana semuanya kecundang, jadi ia tidak begitu baik. Mudah-mudahan mereka belajar dari kesilapan ini dan jurulatih dapat sama-sama ikhtiar untuk hasilkan strategi baharu.
"Mengapa pemain kalah dan cari penyelesaian, bermula dengan atasi kesilapan mereka itu sekarang. Dalam beberapa bulan akan datang, program ini harus berubah. Rexy harus pastikan perkara baharu dilaksanakan," katanya kepada Bernama.
James, ahli pasukan Piala Thomas 1976 yang memenangi pingat perak menyifatkan khidmat pakar psikologi sangat ditagih ketika ini bagi mengukuhkan kekuatan mental serta kaedah mengendalikan emosi pemain negara yang dilihat goyah dalam aksi pengejaran mata dalam gelanggang.
"Saya telah menyatakan ini berkali-kali. Adakah kita mendapat ahli psikologi? Adakah kita mempunyai ahli terapi mental untuk bercakap dengan pemain? Mereka harus berbincang dan memikirkan idea. Jika tidak apa yang perlu kita lakukan?
"Mereka tidak melakukan banyak serangan atau mereka tidak cukup terdorong untuk mendapatkan mata (merujuk kepada Terbuka Malaysia). Mereka sepatutnya lakukan apa yang telah dilakukan oleh lawan mereka. Kemudian, mereka boleh menang, tetapi sekiranya tidak (bertindak sedemikian), bagaimana mereka boleh menang?," katanya.
Sementara itu, bekas pemain beregu lelaki kebangsaan Koo Kien Keat berkata atlet negara seharusnya tidak terganggu dalam menjalani rejim latihan dalam era media sosial ini sekiranya mereka mahu menempatkan diri dalam kelompok terbaik dunia.
Juara Seluruh England 2007 dan pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 bersama Tan Boon Heong itu berkata kemenangan hanya dicapai bergantung kepada berapa besar kemahuan serta tanggungjawab ditonjolkan pemain ke atas kemajuan diri sendiri setiap kali menyertai kejohanan.
"Paling penting adalah kemahuan pemain untuk menang sebab kalau tidak, nasihat macam mana pun tidak akan jalan. Kemenangan itu bukan sahaja untuk Terbuka Malaysia malah kejohanan besar lain seperti Sukan Olimpik.
"Atlet boleh guna media sosial tunjuk kehidupan peribadi dan latihan tetapi mesti ingat kita bukan selebriti. Awak akan dapat viral dan perhatian orang tetapi saya rasa kena seimbangkan sebab keputusan adalah kepentingan nombor satu seorang atlet dan bukan sebab mempunyai pengikut ramai," katanya.
Mengikut kriteria kelayakan Paris 2024, sejumlah 35 tempat kuota, satu tempat negara tuan rumah dan dua tempat global diperuntukkan untuk acara perseorangan dengan sebuah negara hanya boleh mempunyai maksimum dua pemain dalam satu kategori perseorangan jika kedua-duanya berada di kedudukan 16 teratas pada penghujung tempoh akhir kelayakan Race to Paris pada 28 April.
Setiap negara mempunyai kuota maksimum dua tempat bagi acara beregu jika kedua-dua pasangan berada di kedudukan lapan terbaik pada tarikh kelayakan dan harus ada sekurang-kurangnya satu pasangan global.
-- BERNAMA