Rexy nasihat Hon Jian-Muhammad Haikal usah 'besar kepala'
Bernama
Disember 5, 2023 17:38 MYT
Disember 5, 2023 17:38 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky mengingatkan beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri agar tidak terbawa-bawa dengan kejayaan merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Mohdi 2023 di Lucknow, India, Ahad lepas.
Rexy berkata mereka tidak seharusnya berasa cukup puas dengan pencapaian dalam kejohanan bertaraf Super 300 berlangsung di Stadium Tertutup Babu Banarasi Das dan mencabar mereka terus konsisten dalam mana-mana kejohanan disertai selepas ini.
"Kita takut bila mereka terima pujian akan besar kepala. Jangan sampai rasa puas sehingga fokus lari dan sekiranya kalah ada sahaja alasan.
"Sebaliknya saya mahu mereka konsisten bukan sahaja dari segi permainan, namun cara fikir dan sentiasa pandai menjaga diri," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini hari ini.
Biarpun baharu digandingkan sejak Ogos, pakar beregu dari Indonesia itu pada masa sama kagum dapat melihat anak buahnya mencetuskan impak positif dengan merebut gelaran pertama dalam masa singkat selain mengejutkan gandingan yang lebih tinggi ranking daripada mereka sebelum ini.
Hon Jian-Muhammad Haikal yang diletakkan sebagai bukan pilihan bangkit dari ketinggalan pada set pertama, mengejutkan pilihan utama dari Jepun Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 21-18, 21-16.
Ditanya sama ada pencapaian Hon Jian-Muhammad Haikal akan 'memeningkan kepalanya' dalam memilih pasangan terbaik ke Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, beliau berkata gandingan berkenaan terlebih dahulu perlu membuktikan mereka boleh mengawal tekanan baik pada kejohanan bertaraf rendah atau tinggi selepas ini.
"Banyak yang harus dilihat, pemilihannya bukan hanya hasilnya tetapi kena lihat kejohanan Super 1000 dapat kawal atau tidak dan sejak menang Ahad lepas mereka boleh kawal tekanan bermain di Super 100 selepas ini (Masters Guwahati 2023)," katanya.
Pasangan berkenaan bakal membuka tirai kempen Masters Guwahati 2023 di Assam, India, menentang wakil tuan rumah, Deep Rambhiya-Akshan Shetty, dalam kejohanan bermula hari ini hingga 10 Dis.
Pencapaian terbaik mereka sebelum ini ialah bergelar naib juara Masters Indonesia II di Surabaya pada Oktober lepas selepas tumpas kepada pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura, 16-21, 18-21.
-- BERNAMA