Rexy kongsi tip cara kawal prestasi pemain dengan jurulatih

Bernama
Disember 1, 2021 05:55 MYT
BAM pada Oktober lepas menyatakan Rexy diberikan tugas untuk menambah input teknikal kepada indeks prestasi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik Rexy Mainaky yang melapor diri sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam berkongsi tip kepada barisan kejurulatihan mengenai cara mengawal prestasi anak buah mereka.
Dalam perbincangannya bersama Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, Rexy memaklumkan bahawa setiap jurulatih juga perlu berani dan bukannya berasa ragu-ragu dengan idea mereka bagi meningkatkan tahap permainan para pemain.
"Saya sempat berbicara bersama Choong Hann, apa yang jurulatih perlu buat untuk mengendalikan pemain yang berdepan masalah selain bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman saya di beberapa negara luar.
"Selain itu, saya juga menasihati jurulatih agar peka dengan apa yang dibuat mereka, jika pendekatan sama pasti hasilnya sama," katanya dalam satu video dimuat naik dalam laman Facebook BAM.
Sementara itu, Rexy juga berpesan kepada para pemain agar mereka memahami tujuan mereka berlatih dan pentingnya menjadi juara dalam pertandingan yang disertai.
Pakar beregu berusia 53 tahun dari Indonesia itu juga kagum dengan bentuk fizikal para pemain beregu lelaki negara yang dilihatnya sangat baik namun bakat mereka perlu diasah lagi bagi memastikan mereka berjaya di masa depan.
Dalam pada itu, Rexy yang juga bekas jurulatih pasangan beregu negara di BAM dari 2005 sehingga 2012 terpegun dengan fasiliti latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara yang disifatkannya sangat baik bagi pemain untuk menjalani sesi latihan.
BAM pada Oktober lepas menyatakan Rexy diberikan tugas untuk menambah input teknikal kepada indeks prestasi dan akan secara khususnya menjaga pemain beregu dalam skuad kebangsaan dalam melihat dan meningkatkan lagi prestasi pemain beregu negara.
Ketika zaman kegemilangannya, Rexy bersama Ricky Subagja menjuarai Kejuaraan Dunia 1995 dan gelaran Olimpik Atlanta 1996, selain memenangi tiga pingat emas Piala Dunia dan empat kali gelaran Piala Thomas antara 1994 dan 2000.
-- BERNAMA
#Rexy Mainaky #kawal prestasi pemain #indeks prestasi #badminton
;