Rexy kecewa skuad wanita tidak manfaat peluang di BATC 2024
Bernama
Februari 16, 2024 23:08 MYT
Februari 16, 2024 23:08 MYT
SHAH ALAM: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky kecewa apabila skuad wanita negara gagal memanfaatkan peluang terbaik untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024.
Pada perlawanan suku akhir di Pusat Konvensyen Setia City, di sini hari ini, skuad negara tewas 0-3 di tangan barisan kedua Indonesia.
Rexy berkata skuad negara gagal mengambil peluang susulan Indonesia tidak menurunkan perseorangan utama Gregoria Mariska Tunjung dan beregu pingat perak Kejohanan Dunia 2023, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti.
"Kita lihat perlawanan setara antara kedua-dua pasukan jadi siapa yang tampil lebih baik akan ke peringkat separuh akhir. Saya lihat kita berpeluang (untuk menang) tetapi pemain kita melepaskan satu kesempatan kerana perlawanan ini sudah masuk ke pusingan kalah mati," katanya kepada pemberita di sini.
Menyentuh mengenai prestasi beregu Pearly Tan-M. Thinaah yang ditumpaskan pasangan ke-30 dunia, Lanny Trai Mayasari-Ribka Sugiarto, Rexy mengakui Thinaah berhadapan dengan masalah keyakinan diri ketika berdepan pihak lawan dalam gelanggang.
Oleh kerana itu, katanya, kekurangan itu menjadi sasaran Lanny-Ribka untuk mencuri mata, sekali gus memenangi perlawanan dengan 21-14, 18-21, 21-15 dalam masa 59 minit.
Terdahulu, K. Letshanaa yang turun selaku perseorangan pertama terpaksa akur terlepas mata pertama negara apabila tunduk kepada Putri Kusuma Wardani 13-21, 21-18, 13-21, selain Wong Ling Ching ditewaskan 21-14, 15-21, 16-21 oleh Ester Nurumi Tri Wardoyo.
Susulan kekalahan itu, skuad wanita negara terlepas slot automatik ke Piala Uber di Chengdu, China, April ini.
Hanya empat pasukan terbaik daripada kejohanan ini layak secara automatik ke Piala Uber.
-- BERNAMA