Rexy kecewa prestasi Aaron-Wooi Yik, Tang Jie-Ee wei di Masters Malaysia 2024

Bernama
Mei 26, 2024 11:00 MYT
Rexy berkata beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sepatutnya mengeluarkan 'taring sebenar' sebagai wakil tuan rumah. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky, kecewa apabila dua beregu negara yang turun sebagai pilihan pertama kejohanan, tidak memanfaatkan peluang itu untuk merebut gelaran Masters Malaysia 2024 pada ketika ia tidak disertai ramai pemain handalan dunia.
Beliau berkata beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sepatutnya mengeluarkan 'taring sebenar' sebagai wakil tuan rumah, pada kejohanan bertaraf Super 500 itu yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
"...Aaron-Wooi Yik, Tang Jie-Ee Wei memang kita harus terus terang tidak boleh diterima (prestasi di Masters Malaysia), macam (di peringkat suku akhir) Aaron-Wooi Yik boleh menang tapi set kedua memang tidak ada semangat. Berapa kali bola tinggi depan net dan tidak smasy bila bola di belakang, jadi ada apa sebenarnya itu saya tak tahulah.
"Untuk Tang Jie-Ee Wei memang kita nampak dari awal main pusingan pertama sampai masuk separuh akhir, sangat teruk. Kita lihat tiada kerjasama antara satu lain dan berpasukan, khususnya Ee Wei yang sepatutnya boleh kawal hadapan tapi semua tidak jadi," katanya kepada pemberita di Axiata Arena, semalam.
Rexy berkata Ee Wei perlu lebih bijak mengawal emosi ketika beraksi di gelanggang, serta menerima kekalahan untuk membolehkan pemain berusia 24 itu memperbaiki kelemahan diri sendiri, selain hanya memberi 'rating' lima atau enam (daripada 10) kepada Aaron-Wooi Yik kepada persembahan mereka.
Beliau berkata kesemua mereka seharusnya menghadapi perlawanan Super 500 itu tanpa sebarang tekanan tinggi, kerana mereka telahpun layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Kalau pemain tidak ada rasa bimbang atau tidak sedar mereka gagal di sini, itu memang saya risau, tapi kalau mereka sedar sepenuhnya, saya rasa kita masih ada waktu cukup untuk ke Olimpik.
"Kerana Masters Malaysia (tidak kira) mata kelayakan Olimpik, jadi sudah tidak ada tekanan. Mereka (perlu) nikmati dan keluarkan apa yang boleh, dan mereka dalam Road To Gold, jadi saya harap jangan hanya cakap akan kembali lebih baik. Kalau cakap menyesal, pasti, kita kecewa tapi kecewa kita, dakah pemain juga sama rasa kecewa tak?," katanya.
Rexy juga percaya beregu wanita Pearly Tan, yang baru pulih daripada kecederaan belakang seminggu sebelum kejohanan bersama pasangannya M. Thinaah, sepatutnya melangkah ke pentas final untuk menyamai pencapaian tahun lepas selaku naib juara edisi 2023.
Namun, beliau mengakui banyak 'kerja' perlu dilakukan untuk pasangan ranking ke-13 dunia itu, terutamanya Pearly daripada sudut pertahanan apabila pukulannya belum cukup 'menyengat' ketika berhadapan pihak lawan.
Sementara itu, Rexy memuji beregu lelaki muda negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King berani memberi tentangan serta melakukan beberapa kejutan, apabila menumpaskan beberapa pilihan kejohanan walaupun mereka kini hanya menghuni ranking ke-47 dunia.
"Kalau untuk Wan Arif-Roy King, mereka sampai semifinal menang kepada lawan dengan mengalahkan pilihan keempat dan keenam kejohanan, jadi kalau saya boleh rating mereka mereka antara 9/10. Saya harap mereka ini jangan besar kepala dan boleh terus lebih baik.
"Manakala (beregu lelaki negara) Man Wei Chong-Tee Kai Wun lawan He Ji Ting-Ren Xiang Yu (dari China) kurang begitu ada keberanian untuk membuat keputusan," katanya.
Terdahulu, juara dunia 2022 Aaron Chia-Wooi Yik ditumpaskan pasangan Korea Selatan Jin Yong-Na Sung Seung (ke-34 dunia) 21-11, 19-21 dan 19-21, manakala Wei Chong-Kai Wun disingkirkan pilihan ketiga Ji Ting-Xiang Yu dari China 18-21 dan 16-21 pada pusingan suku akhir, pada Jumaat.
Manakala Tang Jie-Ee Wei, Wan Arif- Roy King dan Pearly-Thinaah ditunjukkan jalan keluar lawan masing-masing pada pusingan separuh akhir, semalam.
Mereka masing-masing kandas kepada rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (11-21,19-21), pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 13-21, 19-21 dan beregu Korea Selatan Lee Yu Lim-Shin Seung Chan, 16-21 dan 11-21.
-- BERNAMA
#Masters Malaysia #Rexy #kecewa #Aaron Chia-Soh Wooi Yik #Chen Tang Jie-Toh Ee Wei
;