Rexy harap pemain negara tamatkan kemarau enam tahun kejuaraan Terbuka Malaysia
Bernama
Januari 5, 2024 07:15 MYT
Januari 5, 2024 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berharap pemain badminton negara mampu menamatkan kemarau enam tahun kejuaraan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia yang akan berlangsung 9-14 Jan di Axiata Arena di sini.
Beliau berkata, pemain negara seharusnya tidak melepaskan peluang untuk memburu gelaran Jelajah Dunia Super 1000 itu sekali gus kembali menjejak podium tertinggi di laman sendiri sejak 2018.
"Siapa pun jangkaan juara, kita sebagai tuan rumah mesti nak menang, tapi kita juga perlu realistik dengan pesaing lain, tetapi zaman sekarang ini semua pemain tidak stabil, siapa kalah hari ini esok boleh menang.
"Kita mengharapkan seperti Ng Tze Yong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah dan semua pemain dengan pengalaman musim 2023, saya mahu mereka tampil prestasi lebih menyerlah sebagai tuan rumah," katanya pada sidang media pasukan kebangsaan menjelang Terbuka Malaysia 2024 di sini, pada Jumaat.
Kali terakhir pemain negara mengungguli Terbuka Malaysia adalah pada 2013 menerusi legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang mengenepikan pemain Jepun Kento Momota 21-17, 23-21.
Chong Wei juga pernah mendominasi Terbuka Malaysia pada edisi 2004-2006 dan 2008-2014.
-- BERNAMA