Rexy bimbang dengan prestasi semasa Aaron-Wooi Yik

Bernama
Jun 1, 2024 18:00 MYT
"Pergerakan Aaron-Wooi Yik dan pukulan balas mereka pada perlawanan semalam, seolah-olah tidak tentu arah," kata Rexy. - Gambar fail/BAM
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky jelas berasa bimbang dengan aksi goyah beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika ini.
Rexy mengakui tidak dapat menyembunyikan perasaan tersebut, lebih-lebih lagi selepas Aaron-Wooi Yik mempamerkan permainan hambar dan tersingkir buat kali kedua berturut-turut di peringkat suku akhir dalam tempoh seminggu, kali ini pada Terbuka Singapura 2024, semalam.
Juara beregu lelaki dunia 2022 itu ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan keempat dunia dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 10-21, 14-21, pada saingan Jelajah Dunia bertaraf Super 750 berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.
"Pergerakan Aaron-Wooi Yik dan pukulan balas mereka pada perlawanan semalam, seolah-olah tidak tentu arah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Minggu lepas, pasangan yang diletakkan sebagai pilihan utama Masters Malaysia 2024, menghampakan peminat di tanah air selepas dikejutkan dengan kekalahan kepada gandingan bukan pilihan dari Korea Selatan Jin Yong-Na Sung Seung, 21-11, 19-21, 19-21 di suku akhir.
Justeru, pakar beregu dari Indonesia itu menuntut pasangan kelima dunia untuk melupakan kekecewaan pada dua kejohanan sebelum ini dan terus percaya kepada diri mereka bagi menghadapi Terbuka Indonesia 2024, minggu depan.
Naib juara All England 2024 itu bakal membuka kempen Terbuka Indonesia 2024 menentang pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Joshua Yuan.
Terbuka Indonesia 2024 yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta bermula 4 hingga 9 Jun ini merupakan saingan terakhir bakal ditempuhi Aaron-Wooi Yik, sebelum menggalas tugas negara beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Sukan Olimpik 2024 dijadual dibuka secara rasmi pada 26 Julai dan berakhir 11 Ogos.
Aaron-Wooi Yik, merangkul gangsa Sukan Olimpik sewaktu membuat penampilan sulung pada edisi 2020 di Tokyo, dengan bangkit dari ketinggalan menumbangkan juara beregu lelaki dunia tiga kali dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14.
-- BERNAMA
#Rexy Mainaky #beregu lelaki nombor satu negara #Aaron Chia-Soh Wooi Yik #badminton #prestasi semasa
;