Revolusi kewangan United, pejabat London bakal tutup?

Sinar Harian
Mac 4, 2025 05:45 MYT
Ratcliffe (ambar) dilaporkan sering memilih untuk menggunakan pejabat Ineos untuk urusan United sejak membeli 28 peratus saham kelab 15 bulan lalu. - Foto Sinar Harian
GERGASI Liga Perdana Inggeris, Manchester United sedang mempertimbangkan untuk menamatkan pajakan pejabat mereka di London sebagai langkah penjimatan kos dicadangkan Sir Jim Ratcliffe.
Menurut laporan, kelab tersebut sedang mengkaji semula keperluan pejabat mereka di London dan potensi penjimatan yang boleh dilakukan dengan menamatkan pajakan tersebut.
Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha kelab mengoptimumkan perbelanjaan dan memastikan kelestarian kewangan kelab paling berpengaruh dunia berkenaan.
United sebelum ini berpindah ke Bangunan Kensington kurang daripada dua tahun lalu selepas tamat tempoh perjanjian sewa selama 10 tahun di sebuah bangunan pejabat lain di Mayfair.
Namun, dengan keputusan Ratcliffe bahawa sebahagian besar kakitangan kelab harus ditempatkan di Manchester, ruang pejabat seluas 23,000 kaki persegi itu dianggap terlalu besar dan mahal.
Dalam pengumuman pelan transformasi minggu lalu melibatkan pemberhentian antara 150 dan 200 pekerja, United komited untuk mengekalkan kehadiran di London.
Namun, media melaporkan bahawa ini akan melibatkan pencarian premis baharu.
Biarpun pengurangan saiz pejabat semasa juga sedang dipertimbangkan, difahamkan berpindah sepenuhnya dua tahun selepas menandatangani perjanjian 10 tahun dilihat sebagai tindakan paling sesuai.
Pejabat United di Kensington terletak kurang daripada 1.6 kilometer dari ibu pejabat Ineos di Knightsbridge, tetapi kemudahan ini tidak mungkin mempengaruhi Ratcliffe, yang berusaha menjadikan kelab lebih efisien dari segi kewangan.
Ratcliffe sering memilih untuk menggunakan pejabat Ineos untuk urusan United sejak membeli 28 peratus saham kelab 15 bulan lalu.
Nasib Erik ten Hag sebagai pengendali The Red Devils secara efektif telah ditentukan pada sidang kemuncak di Knightsbridge pada Oktober yang melibatkan pemilik bersama berusia 72 tahun itu, ketua eksekutif Omar Berrada, pengarah sukan ketika itu Dan Ashworth, dan pengarah teknikal Jason Wilcox.
Pengendali dari Belanda itu dipecat dua minggu kemudian, dengan Ruben Amorin dilantik sebagai penggantinya tidak lama kemudian.
United memulakan trend untuk kelab-kelab besar utara apabila membuka pejabat London 15 tahun lalu, satu langkah yang kemudiannya diikuti Manchester City, Liverpool, Everton dan Leeds, yang memainkan peranan dalam mengubah mereka menjadi gergasi komersial.
Di bawah kepimpinan bekas pengerusi eksekutif Ed Woodward, kebanyakan kakitangan kanan United ditempatkan di London, termasuk ketua perunding perpindahan kelab, Matt Judge, dengan pejabat itu juga digunakan untuk melayan pelanggan korporat dan ejen terkemuka dari seluruh dunia.
Di bawah pengganti Woodward, Richard Arnold, pusat graviti United bergerak kembali ke Old Trafford dan pusat latihan Carrington, perubahan penekanan yang telah dipercepatkan berikutan pelaburan Ratcliffe. - Sinar Harian
#Manchester United #London #Ratcliffe #jimat kos #tutup pejabat di London
;