Resepi para renang, olahraga boleh jadi inspirasi buat atlet normal - Hannah

Bernama
Jun 10, 2023 06:07 MYT
Kepulangan kontinjen para negara yang mengharumkan nama Malaysia pada APG 2023 di KLIA Terminal 1 pada Sabtu disambut Dr Wan Azizah dan Hannah serta ahli keluarga atlet. -- fotoBERNAMA
SEPANG: Pencapaian membanggakan kontinjen negara pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 berupaya menjadi inspirasi kepada atlet normal terutama dalam sukan renang dan olahraga.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata laporan pascanilai APG 2023 yang bakal dibentangkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bukan sahaja untuk melihat bentuk penambahbaikan yang boleh dibuat.
Katanya laporan itu juga bertujuan melihat 'rahsia' kejayaan 50 emas, 38 perak dan 34 gangsa yang diraih kontinjen para negara untuk dikongsikan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi memperkasakan lagi atlet normal.
"Bila lihat data daripada 50 emas, 26 datang daripada sukan renang dan 14 daripada olahraga bermaksud resepi kejayaan untuk kita dapat banyak pingat (emas) adalah olahraga dan renang.
"Walaupun berjaya melebihi sasaran tetapi pascanilai itu untuk lihat cara penambahbaikan ataupun apa resepi kejayaan yang mungkin boleh kita kongsi dengan MOM, untuk diterapkan kepada kontinjen satu lagi (normal)," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, semalam.
Terdahulu, Hannah dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama ahli keluarga barisan atlet menyambut kepulangan kontinjen para negara yang mengharumkan nama Malaysia pada APG 2023 di sini.
Sementara itu, Hannah berkata pihaknya akan memperkasakan lagi sekretariat MPM, selain Majlis Sukan Negara (MSN) akan melihat peruntukan yang boleh diberikan setiap tahun bagi membantu atlet para lebih berjaya.
Pada APG 2023 di Kemboja yang melabuhkan tirainya pada Jumaat, pencapaian 50 emas, 38 perak dan 34 gangsa menyaksikan Malaysia menduduki tangga keempat carta pingat di belakang juara, Indonesia diikuti Thailand (kedua) dan Vietnam ketiga.
MPM sebelum ini mengumumkan sasaran 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa berbanding 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa yang diraih pada edisi lepas di Solo, Indonesia.
Dalam perkembangan berasingan, Hannah menafikan dakwaan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) Datuk Michael Wong bahawa terdapat campur tangan kerajaan dalam menentukan sukan ke Sukan Asia Hangzhou 2023, September ini.
-- BERNAMA
#APG 2023 #atlet para #Hannah Yeoh #kontinjen malaysia
;